Kajian teliti perlu dilakukan sebelum cadangan
mengambil pemain naturalisasi untuk skuad negara dilaksanakan, kata
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah.
Menurutnya pengambilan pemain naturalisasi tidak boleh dilaksanakan
sekelip mata kerana memerlukan perancangan teliti supaya ia mampu
memberi kesan yang signifikan kepada kualiti bola sepak negara.
"Ini tidak seharusnya menjadi isu kerana hal naturalisasi ini memang
sudah lama kita perkatakan dan kalau benar kita hendak buat cadangan
ini, ia perlu perancangan yang baik.
"Kita mesti sasarkan satu impian bersama iaitu sejauh mana pencapaian
yang mampu diraih dalam jangka masa panjang dan jangka pendek," katanya.
Tengku Abdullah berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran, Yaakob Hashim di Felda Mempaga 3 di sini, Rabu.
Menurutnya pelaksanaan pemain naturalisasi itu juga harus mematuhi
kriteria tertentu termasuk pemain berkenaan perlu bermain dalam liga
tempatan lebih lima tahun dan tidak pernah mewakili pasukan negara lain.
Isu pemain naturalisasi timbul baru-baru ini setelah skuad negara
berjaya mempamerkan aksi cemerlang semasa pertemuan dengan gergasi Liga
Perdana Inggeris, Liverpool hasil bantuan lima pemain import dalam Liga
Super dan Liga Perdana.
Bagaimanapun, katanya, pada masa sama keutamaan harus diberikan kepada
pembangunan bola sepak tempatan yang masih belum menunjukkan hasil yang
memberangsangkan.
"Program pembangunan bola sepak negara perlu dilakukan secara menyeluruh
melibatkan peringkat sekolah dan juga kampung, tidak terhad di
peringkat tertentu sahaja.
"Selain itu, pemain negara perlu keluar dari zon selasa dan mempunyai
semangat yang tinggi dalam meningkatkan mutu bola sepak negara ke tahap
yang lebih tinggi.
"Kalau hendak beraksi di peringkat itu kena ada kemahiran tinggi dan
semangat yang kental, bukan sahaja kita hendak menjadi juara Liga Super,
hendak jadi juara Piala Malaysia dan juara Sukan SEA, malah lebih
daripada itu," katanya.
Sementara itu, Tengku Abdullah meminta pemilik rumah, bangunan kedai dan
pejabat kerajaan yang lama serta usang di negeri ini terutama di
kawasan luar bandar supaya melihat semula pendawaian di premis
masing-masing untuk mengelak kejadian litar pintas.
Tengku Abdullah berkata, pendawaian lama perlu diganti untuk menghindar kebakaran yang berpunca daripada litar pintas.
-- BERNAMA
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
Labels: FAM