Thursday, July 30, 2015

Cadangan Naturalisasi Pemain Perlu Diperhalusi Sebelum Dilaksana - Tengku Abdullah


Kajian teliti perlu dilakukan sebelum cadangan mengambil pemain naturalisasi untuk skuad negara dilaksanakan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menurutnya pengambilan pemain naturalisasi tidak boleh dilaksanakan sekelip mata kerana memerlukan perancangan teliti supaya ia mampu memberi kesan yang signifikan kepada kualiti bola sepak negara.

"Ini tidak seharusnya menjadi isu kerana hal naturalisasi ini memang sudah lama kita perkatakan dan kalau benar kita hendak buat cadangan ini, ia perlu perancangan yang baik.

"Kita mesti sasarkan satu impian bersama iaitu sejauh mana pencapaian yang mampu diraih dalam jangka masa panjang dan jangka pendek," katanya.

Tengku Abdullah berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran, Yaakob Hashim di Felda Mempaga 3 di sini, Rabu.

Menurutnya pelaksanaan pemain naturalisasi itu juga harus mematuhi kriteria tertentu termasuk pemain berkenaan perlu bermain dalam liga tempatan lebih lima tahun dan tidak pernah mewakili pasukan negara lain.

Isu pemain naturalisasi timbul baru-baru ini setelah skuad negara berjaya mempamerkan aksi cemerlang semasa pertemuan dengan gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool hasil bantuan lima pemain import dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama keutamaan harus diberikan kepada pembangunan bola sepak tempatan yang masih belum menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

"Program pembangunan bola sepak negara perlu dilakukan secara menyeluruh melibatkan peringkat sekolah dan juga kampung, tidak terhad di peringkat tertentu sahaja.

"Selain itu, pemain negara perlu keluar dari zon selasa dan mempunyai semangat yang tinggi dalam meningkatkan mutu bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi.

"Kalau hendak beraksi di peringkat itu kena ada kemahiran tinggi dan semangat yang kental, bukan sahaja kita hendak menjadi juara Liga Super, hendak jadi juara Piala Malaysia dan juara Sukan SEA, malah lebih daripada itu," katanya.

Sementara itu, Tengku Abdullah meminta pemilik rumah, bangunan kedai dan pejabat kerajaan yang lama serta usang di negeri ini terutama di kawasan luar bandar supaya melihat semula pendawaian di premis masing-masing untuk mengelak kejadian litar pintas.

Tengku Abdullah berkata, pendawaian lama perlu diganti untuk menghindar kebakaran yang berpunca daripada litar pintas.

-- BERNAMA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget