Thursday, July 30, 2015

Sabah hukum Hadji Diouf


Hilangkan diri, berjumpa JDT secara senyap

Bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf akan dikenakan tindakan oleh Sabah tidak kira sama ada dia pulang atau terus menghilangkan diri. 

Ketua Pegawai Eksekutif Persa­tuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Dr. T.C Goh berkata, hukuman awal telah pun dikenakan ke atas Diouf iaitu jawatannya sebagai ketua pasukan Sabah Rhinos ditarik balik. 

Goh, yang dipetik sebagai berkata oleh suarasabah.com, turut meluahkan rasa kesalnya dengan sikap tidak profesional bekas pemain skuad Piala Dunia Senegal itu. 

Diouf sebelum ini dikhabarkan berada di Johor dan dikatakan berminat untuk mewakili Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang bersaing dalam Liga Perdana musim depan. 

Dia turut dilaporkan mengkritik mengenai hala tuju bola sepak Sabah. 

Diouf mempunyai kontrak dengan Sabah dan dia sepatutnya bersama kita, bukan pasukan lain termasuk JDT. Sebagai pemain, dia tiada hak mempersoal misi dan visi pengurusan pasukan kerana kita tidak akan mendedahkannya kepada umum. 
Lebih mengecewakan seperti dilaporkan dalam TV Johor FA, Diouf bercakap mengenai misi dan visi pasukan terbabit sedangkan ia misi kami. 
Jadi saya harap setiap persatuan negeri hormat pasukan lain dan peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya lagi dalam laporan itu. 

Beliau juga mengesahkan Diouf bukan lagi kapten skuad Sang Badak kerana pihaknya tidak mahu tugas itu dipegang oleh seseorang yang tidak setia dan penggantinya akan ditentukan oleh ketua jurulatih Mike Mulvey dalam masa terdekat. 

Mengulas lanjut, Goh berkata, Diouf mempunyai kontrak dengan SAFA hingga Disember tahun ini dan jika Persatuan Bolasepak Ne­geri Johor (PBNJ) berminat mendapatkan khidmatnya mereka perlu mengikut prosedur termasuk membayar pampasan. 

Saya tidak tahu apa masalah dia (Diouf). Kita masih bayar gaji dia, itu yang saya tahu, jadi sila main bola untuk Sabah. Apa masalahnya yang lain saya tidak mahu tahu. 
Pada masa yang sama, saya tak nak komen karakter dia (sepanjang bersama Sabah), tetapi semua orang memang ada latar belakang masing-masing. 
Sepanjang separuh saingan liga musim ini sememangnya dia bagus dan main untuk kita sepenuh hati, tetapi sejak perlawanan kita di JDT (menentang JDTII) Diouf sudah tukar, berubah angin,” dakwanya. 




Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget