Friday, July 24, 2015

TMJ tak minat jadi Presiden FAM


'Saya tidak minat 
jadi Presiden FAM'


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyangkal dakwaan tindakan beliau melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) kerana ingin menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau yang kini dilantik sebagai Penaung Diraja PBNJ menegaskan, tidak berminat untuk mengambil alih jawatan ter­tinggi badan bola sepak itu daripada Tengku Mahkota Pahang, Tunku Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebaliknya mahu memberi tumpuan terhadap bola sepak Johor.

“Ada pihak yang mengatakan yang saya letak jawatan Presiden PBNJ sebab ada angan-angan mahu jadi Presiden FAM. Dah banyak kali saya cakap, saya tidak mahu jadi Presiden FAM.

“Baru-baru ini, ada ahli jawatankuasa dan orang dalam FAM pujuk saya untuk mengambil alih jawatan itu kerana Presiden FAM nak letak jawatan.

“Dahulu mereka mempunyai peluang untuk melantik saya, tetapi tidak berbuat demikian dan peluang itu cuma datang sekali sahaja.

“Pada masa ini, saya cuma akan memberi tumpuan untuk majukan bola sepak negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.

Tunku Ismail berkata, tumpuan beliau kini terarah kepada usaha membantu Presiden baharu PBNJ, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim untuk melakarkan sejarah bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut beliau, peletakan jawatan sebagai Presiden PBNJ untuk menunjukkan kepada seluruh negara bahawa beliau tidak perlu jawatan berkenaan untuk memajukan sukan bola sepak Johor.

“Saya tak perlu pegang sesuatu jawatan untuk majukan bola sepak negeri ini kerana saya amat cintakan sukan bola sepak dan ikhlas dalam membangunkan sukan berkenaan untuk rakyat Johor,” kata Tunku Ismail.

Mengenai pelantikan sebagai Penaung Diraja PBNJ, Tunku Ismail menegaskan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang membuat cadangan dan memperkenankan perkara itu kerana merasakan beliau mempunyai pengetahuan dalam sukan bola sepak.

“Saya hanya mempunyai satu objektif, iaitu untuk mencipta sejarah sukan bola sepak di negeri ini. Saya mahu generasi akan datang dapat lihat sejarah yang dilakar JDT dan berasa bangga dengan pencapaian yang dikecapi,” katanya.




Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget