Monday, July 27, 2015

Naturalisasi, FAM berpandangan terbuka.


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersikap terbuka mengenai cadangan penggunaan pemain naturalisasi demi meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata badan induk itu menyokong cadangan berkenaan namun perlu mengambil kira pandangan daripada kerajaan kerana ia melibatkan kewarganegaraan seseorang individu.

Beliau yang ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, di sini, bagaimanapun berkata FAM pada masa ini, masih mementingkan pemain yang mempunyai pertalian darah dengan negara ini.

Antaranya pemain Kelantan, Brendan Gan yang mempunyai pertalian darah dengan negara ini kerana bapanya merupakan warga tempatan walaupun beliau dilahirkan di Australia.

"Kalau kerajaan benarkan perkara ini (pemain naturalisasi) sebagai salah satu pilihan untuk menaikkan mutu bola sepak negara, bagus juga namun ia bukan pilihan secara keseluruhannya kerana pembangunan di peringkat akar umbi masih jadi keutamaan kita (FAM)," tegas Hamidin.

Pandangan berbeza disuarakan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menegaskan bahawa mereka masih percaya dengan kemampuan pemain tempatan untuk mewakili skuad Harimau Malaya.

"Kita masih yakin dan percaya dengan pemain tempatan dan tidak pernah kita bincang sebelum ini soal ambil pemain luar untuk mendapat kerakyatan negara kita," katanya.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh sebelum ini dilaporkan bahawa beliau bersikap terbuka mengenai pengambilan pemain naturalisasi sekiranya ia dapat meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

Beliau dipetik membuat kenyataan sedemikian, selepas lima pemain import yang mewakili skuad Pilihan Malaysia mempamerkan aksi cemerlang selepas mengikat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool FC 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lepas.

Pada perlawanan berkenaan, skuad Pilihan Malaysia memperoleh jaringan menerusi pemain import PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-12 sebelum Jordon Ibe menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-28.

-- BERNAMA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget