Muslim Ahmad, Nurul Azwan Roya tidak ada displin
Ketua delegasi Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammad Fuad Karim menegaskan tindakan pihaknya menggugurkan jurulatih Azman Adnan bersama penolongnya Mohd. Nazrulerwan Makmor tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu mengatur keputusan perlawanan sepanjang saingan Liga Super berlangsung.
Tegasnya, faktor utama Azman dan Nazrulerwan dipecat adalah disebabkan gagal memberi komitmen kepada pasukan, sehinggakan sikapnya menjadi ikutan bekas kapten pasukan Muslim Ahmad dan Mohd. Nurul Azwan Roya yang turut ditamatkan kontrak mereka lebih awal.
“Tiada sebarang siasatan berhubung mengatur perlawanan ke atas mereka sebaliknya kami lebih menekankan prestasi sert komitmen mereka terhadap pasukan.
“Sebelum kami memecat mereka kami telah melakukan pemantauan terlebih dahulu dan sebab itu kami yakin untuk menamatkan khidmat mereka serta-merta. Berhubung mengenai mengatur perlawanan kami akan lihat pencapaian pasukan dalam perlawanan seterusnya.
“Sekiranya prestasi pasukan memuaskan kami akan memikirkan sama ada perlu melakukan siasatan terhadap kemungkinan adanya perbuatan mengatur perlawanan atau tidak. Tengoklah macam mana nanti,” katanya kepada Utusan ketika dihubungi semalam.
Fuad menegaskan tindakan pihaknya turut mendapat sokongan daripada para pemain.
“Selepas kami memecat mereka kami telah melakukan post mortem dalam pasukan dan majoriti pemain bersetuju dengan tindakan yang telah kami lakukan. Ada pemain berkata Azman datang lewat ke sesi latihan, begitu juga dengan pemain (Muslim dan Azwan).
“Fikirlah, setiap pemain dibayar gaji dengan jumlah yang berlainan, sekiranya pemain yang mendapat gaji lebih banyak tapi tidak menunjukkan komitmen serta kesungguhan. Begitu juga dengan jurulatih,” katanya lagi.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit