Wednesday, July 29, 2015

Kelantan mudah benam ATM 5-1


Kelantan menceriakan ribuan penyokong sendiri yang hadir ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu apabila mudah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1 pada aksi tunggal Liga Super, malam ini.

 Hadir dengan misi menebus kekecewaan selepas seri 2-2 menentang pasukan tercorot, Sime Darby di laman sama, minggu lalu, Kelantan di depan seawal minit ketiga permainan menerusi jaringan penyerang import, Erwin Carrillo.

 Begitupun, kedudukan itu tidak lama apabila pelawat pantas menjaringkan gol penyamaan menerusi Venice Elphi, lima minit kemudian. Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan memperkemaskan permainan dan berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-38 menerusi pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Tuan rumah kemudian tambah selesa apabila penyerang, Nor Farhan Muhammad menjaringkan gol ketiga, tiga minit sebelum babak pertama berakhir. Memasuki babak kedua perlawanan, ATM tambah terdesak apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Norfazly Alias dikenakan kad merah.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Kelantan yang menambah gol keempat juga menerusi Carrillo pada minit ke-64 sebelum Wan Zaharulnizam Zakaria melengkapkan jumlah jaringan pada minit ke-74.

Kemenangan begitupun menyaksikan Kelantan kekal di kedudukan kesembilan liga selepas mengumpul 18 mata manakala ATM kekal di kedudukan kedua tercorot.

sumber: BH

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget