Saturday, April 18, 2015

Kevin Ramalingam merajui penswastaan liga Malaysia, FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership).


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Red Warriors Sdn Bhd, Kevin Ramalingam dilantik sebagai CEO Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa hari ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Januari lepas, mengumumkan penubuhan FMLLP selepas menandatangani perjanjian dengan syarikat peneraju media antarabangsa, Media Partners & Silva (MP & Silva) yang memberi jaminan pendapatan RM1.26 bilion ke arah kerjasama itu sepanjang tempoh kontrak selama 15 tahun.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Kevin dilantik menerajui FMLLP kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak tempatan dan berjaya dalam temuduga oleh Jawatankuasa Eksekutif FMLLP yang diketuai Tengku Abdullah, awal bulan ini.

Beliau percaya pelantikan Kevin itu yang juga abang kepada CEO Malaysia Super League Sdn Bhd, Stuart Ramalingam, akan meningkatkan standard Liga Malaysia (Liga M) ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

"Selepas temuduga kedua pada awal April, kami sebulat suara memutuskan untuk melantik beliau (Kevin) sebagai CEO FMLLP," kata Hamidin pada sidang media di Wisma FAM di Kelana Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata Kevin akan menjalankan tugasnya serta-merta di Wisma FAM buat sementara, kerana badan induk bola sepak negara itu sedang mengenal pasti tempat yang sesuai untuk dijadikan pejabat tetap FMLLP.

"Tugas beliau ialah mengurus Liga Super dan Perdana seperti yang ditetapkan Jawatankuasa Eksekutif FMLLP," kata Hamidin.

Dalam pada itu, Kevin berbesar hati kerana diberi kepercayaan menerajui FMLLP, sambil mengakui bahawa ia bukan tugas yang mudah untuk meningkatkan tahap bola sepak tempatan.

"Saya berterima kasih kepada FAM kerana meletakkan kepercayaan kepada saya. Sudah tentu, ia tugas yang besar bagi saya untuk mengubah landskap (liga) bola sepak tempatan dalam beberapa tahun akan datang agar diuruskan dengan profesional dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada skuad bola sepak kebangsaan," katanya.

Kevin, 40, bukan nama asing kerana beliau mempunyai pengalaman hampir 14 tahun dalam pengurusan bola sepak di negara ini dan menjadi perunding untuk beberapa pasukan bola sepak tempatan sebelum ini.

Untuk rekod, FAM menandatangani MoU dengan MP & Silva pada awal Januari lepas, dalam usaha untuk menswastakan Liga M menjelang 2016.

Menerusi perjanjian itu, MP & Silva akan menyalurkan RM70 juta setiap tahun kepada FMLLP dari 2016-2021; RM85 juta setahun (2022-2024); RM92 juta setahun (2025-2027) dan RM103 juta setahun (2028-2030).

-- BERNAMA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget