Friday, April 17, 2015

JDT II tamatkan kontrak penjaga gol Mohd Anis Faron Ahmad


Penjaga gol Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Mohd. Anis Faron Ahmad tidak lagi bersama pa­sukan kerana sudah dilepaskan manakala Goran Paulic diberi amaran agar kekal dengan misi ditetapkan jika dia mahu kekal sebagai jurulatih pa­sukan itu.

Mohd. Anis Faron Ahmad (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang pada Selasa lalu untuk menghadapi pertuduhan mengaibkan pasukan polis ketika perlawanan Liga Perdana menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, penjaga gol berusia 33 tahun itu kini bebas untuk mencari pasukan lain kerana Anis bukan lagi sebahagian daripada perancangan dalam pembangunan bola sepak PBNJ.

Katanya, penjaga gol dari Perak itu tidak membawa imej yang baik untuk kelab dan tindakannya sebelum ini tidak profesional dan menegaskan PBNJ hanya berminat untuk menyimpan pemain yang komited dan penuh disiplin.

Tindakan menamatkan kontrak Anis dipercayai dibuat berikutan kontroversi yang menyelubungi penjaga gol itu, yang didakwa di mahkamah kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang bertugas mengawal keselamatan ketika perlawanan Liga Perdana dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya pada 3 April lalu.

Tunku Ismail turut mempersoalkan tindakan Paulic menggunakan khidmat pemain berusia 33 tahun itu, yang bertentangan de­ngan matlamat JDT II diwujudkan iaitu untuk menggilap pemain-pemain muda.

“Ini saya tengok ada beberapa pemain yang sudah berusia dalam pasukan, sebenarnya JDT II tidak perlu risau tentang pencapaian, mereka perlu lebih risau dengan motif pasukan iaitu projek pembangunan untuk pemain muda.

“Kalau awak letak pemain muda di bangku simpanan dan simpan mereka, baik tak perlu ada pasukan JDT II. Jadi, mesej saya kepada jurulatih, buat apa yang sepatutnya dilakukan kerana kalau tidak dia juga boleh pergi.

“Tiada siapa yang kekal dalam kelab, awak boleh kekal di sini kalau awak berikan yang terbaik, kalau tidak sesiapa pun boleh pergi termasuk saya juga,” katanya kepada pemberita di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini semalam.

Tunku Ismail berkata, peluang sudah diberikan kepada Anis dan sudah sampai masanya dia memikirkan masa depannya kerana JDT II sudah pun mempunyai pengganti, manakala PBNJ adalah persatuan bola sepak dan bukannya penjara.

Ditanya bagaimana pula nasib pemain se­nior dalam pasukan JDT II, beliau memberitahu pemain senior yang ada adalah Baihakki Khaizan dan Shahril Ishak dan mereka boleh berada bersama pasukan seberapa lama yang mereka mahu.

“Kedua-dua pemain itu berada dalam pasukan kerana pengalaman yang ada dan saya memang mahu simpan kedua-duanya supaya mereka dapat terus berkongsi pengalaman dan membantu pemain-pemain muda berkaitan pembangunan bola sepak.

“Saya rasa Shahril sudah me­nunjukkan contoh sebagai ketua yang baik, berdisiplin. Pemain muda juga melihat dia sebagai contoh dan perkara sama juga kita lihat pada Baihakki, orang macam mereka memang diperlukan di dalam pasukan,” katanya.

-UTUSAN

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget