Pendekatan melalui perlawanan simulasi antara pemain akan diteruskan sebagai satu daripada platform untuk menilai prestasi pemain badminton perseorangan lelaki sebelum layak mendapat tempat dalam kejohanan.
Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata perkara itu telah dibincangkan dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berikutan prestasi yang dipamerkan pemain ketika sesi pemilihan ke Kejohanan Piala Sudirman dan Sukan SEA yang dijalankan selama dua hari.
"Setelah dua hari sesi pemilihan ini, apa yang diperolehi, selain mendapat pemain yang akan dipilih, kita juga dapat lihat pemain bermain bersungguh-sungguh, kalah atau menang itu jatuh kemudian.
"Pemain dari luar, seperti Arif (Mohammad Arif Abdul Latif) dan Chun Seang (Tan Chun Seang) turut menunjukkan permainan yang kompetitif. Pemain yang muda-muda juga mencuba yang terbaik untuk kalahkan pemain senior," katanya kepada pemberita di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Menurut jurulatih dari Indonesia itu, pendekatan melalui perlawanan simulasi dapat membantu persediaan skuad negara dalam usaha mempersiapkan pemain pelapis dalam acara perseorangan lelaki.
Sebanyak 14 pemain perseorangan lelaki termasuk dua pemain dari kelab iaitu Mohammad Arif dan Chun Seang menghadiri sesi pemilihan bagi membentuk skuad negara ke Piala Sudirman di China, bulan depan dan Sukan SEA di Singapura, Jun ini.
Pada pertemuan terakhir hari ini, pemain di bawah naungan BAM iaitu Liew Daren dan Chong Wei Feng menepati sasaran apabila menewaskan lawan masing-masing.
Daren menewaskan Chun Seang 21-17 dan 21-16 manakala Wei Feng pula menewaskan Mohammad Arif 21-18 dan 21-10.
Namun, Hendrawan berkata kejayaan yang diperolehi hari ini bukan penentuan muktamad sebaliknya pemain masih perlu memenuhi beberapa kriteria lain yang ditetapkan oleh Pengarah Teknikal BAM.
"Ini salah satu markah. Selain itu, Frost juga melihat kesungguhan pemain sama ada mereka sudah mencuba yang terbaik atau tidak, di samping dari segi kecergasan, fizikal, pencapaian sebelum atau terbaik dan bagaimana pemain memberi sumbangan dalam pasukan," katanya.
Mengenai persediaan pemain ke Piala Sudirman, Hendrawan berkata beliau dan Frost sudah mempunyai bayangan pemain yang berjaya mencuri tumpuan namun masih menanti keputusan pendengaran kes doping Datuk Lee Chong Wei.
Bagaimanapun, beliau dan Frost sependapat untuk menggabungkan tenaga senior dan pemain muda sebagai persediaan kepada pemain pelapis untuk memikul cabaran negara selepas beberapa pemain bersara kelak.
"Kita harus siap pemain muda supaya mendapat peluang menerusi kombinasi pemain dalam satu-satu pertandingan," katanya.
Sementara itu, Wei Feng berkata beliau selesa dengan sesi pemilihan selama dua hari yang diadakan oleh BAM itu kerana memberi peluang mengenal pasti serta memperbaiki kelemahan yang dilakukan ketika perlawanan dengan pemain yang berbeza-beza.
"Saya puas hati dengan keadaan saya dari satu perlawanan ke perlawanan lain. Pada perlawanan awal, saya berdepan Sateish (R.Sateishtharan) permainan saya agak goyang lagi, dan diperbaiki ketika bertemu Iskandar (Iskandar Zulkarnain Zainuddin) dan hari ini dengan Arif, saya rasa lebih baik.
"Saya sudah perbaiki dari segi kawalan gelanggang dan pertahanan juga sudah dapat rentak, sebab sebelum ini saya banyak buat serangan sahaja kerana masih cedera ketika itu," katanya yang kini hampir pulih sepenuhnya daripada kecederaan di peha kanan.
Daren pula berpuas hati dengan prestasi permainan beliau setelah berjaya melepasi salah satu 'kayu pengukur' yang ditetapkan BAM bagi memilih pemain perseorangan lelaki ke dua kejohanan besar itu.
"Sudah tentu saya mahu mewakili negara ke Piala Sudirman dan Sukan SEA jika berpeluang. Saya rasa latihan yang dibuat juga bagus dan cergas untuk menyertai kejohanan itu," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit