Thursday, April 16, 2015

Arif Dapat 'Seru' Kembali Sertai Sesi Pemilihan BAM


Pemain kelab, Mohammad Arif Abdul Latif terpanggil menyertai sesi pemilihan pemain ke Kejohanan Badminton Piala Sudirman dan Sukan SEA di Singapura berikutan ia lebih telus.

Mohammad Arif, yang kini turut mendapat tunjuk ajar daripada bekas jurulatih kebangsaan Rashid Sidek, berkata kesudian menerima tawaran daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu kerana dikhabarkan bahawa semua pemain yang dipanggil perlu bersaing antara satu sama lain bagi merebut slot ke kejohanan berkenaan.

"Kalau dijalankan macam ini, memang adalah adil bagi saya mungkin kurang puas hati dengan kumpulan tapi itu tidak menjadi masalah, yang penting semua pemain main dan di situ kita dapat berikan sesuatu," katanya kepada pemberita di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Rabu.

Mohammad Arif diundi dalam kumpulan A bersama dengan tiga pemain di bawah naungan BAM iaitu Chong Wei Feng, R. Satheishtharan dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin dalam sesi pemilihan yang turut melibatkan 10 lagi pemain perseorangan lelaki serta tujuh pemain perseorangan wanita.

Mohamad Arif sebelum ini pernah meninggalkan sesi pemilihan skuad Piala Thomas tahun lepas berikutan tidak puas hati dengan cara BAM mengendali sesi berkenaan.

Pada sesi yang bermula hari ini dan berakhir esok, seorang lagi pemain perseorangan lelaki dari kelab yang turut dipanggil ialah Tan Chun Seang dan pemain perseorangan wanita S. Sannatasah.

Pemain di bawah naungan BAM yang lain adalah Liew Daren, Goh Soon Huat, Cheam June Wei, Soo Teck Zhi, Nur Mohd Azriyn Ayub, Chong Yee Han, Soong Joo Ven, Tan Kian Meng dan Lim Chi Wing.

Pemain wanita pula terdiri daripada Goh Jin Wei, Lim Yin Fun, Lee Zii Yii, Ho Yen Mei, Tee Jing Yi dan Lim Chiew Sien.

Mengikut format sesi pemilihan BAM, 14 pemain lelaki dibahagikan kepada empat kumpulan manakala pemain wanita dibahagi kepada dua kumpulan dan setiap pemain perlu menghadapi tiga perlawanan.

Ditanya mengenai peluang beliau pada pemilihan kali ini, pemain berusia 25 tahun itu berkata peluang adalah seimbang dan beliau akan berdepan Wei Feng pada perlawanan penentuan kumpulan A, Khamis.

Mohamad Arif, yang juga mendapat khidmat jurulatih Indonesia, Nova Armada turut menyimpan impian untuk kembali beraksi di pentas Sukan SEA selepas kali terakhir berbuat demikian pada temasya 2011 di Indonesia, menyaksikan pasukan negara meraih pingat perak selepas tewas 1-3 kepada tuan rumah.

"Kalau ikutkan ranking semasa, mungkin saya boleh terpilih. Saya ada dua lagi kejohanan Terbuka Australia dan New Zealand. Harap dapat tunjukkan sesuatu yang membolehkan saya berpeluang lebih cerah untuk terpilih," katanya.

-- BERNAMA


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget