Wednesday, April 15, 2015

FAM pinda jadual Liga Malaysia

FAM pinda jadual Liga Malaysia


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melakukan pindaan jadual perlawanan Liga Malaysia berikutan skuad kebangsaan akan beraksi pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018 Rusia (Peringkat Asia).


Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pindaan jadual itu akan diputuskan esok, selepas mesyuarat badan induk itu, bagi memberi ruang kepada pengendali pasukan negara, Dollah Salleh membuat persediaan awal.

"Mengikut undian, kita ada dua perlawanan di tempat sendiri pada Jun di Bukit Jalil, menentang Timor Leste (11 Jun) dan Palestin (16 Jun). Kita juga ada perlawanan pada September, Oktober, November dan dua perlawanan terakhir pada Mac tahun depan.

"Jadi kita senang nak beri jalan (laluan) kepada Dollah untuk sekurang-kurangnya, setiap perlawanan tersebut, dia ada 10 hari menyiapkan pasukan. Kita akan beritahu selewat-lewatnya hujung minggu ini atau awal minggu depan penukaran jadual Liga Super dan Perdana," katanya selepas undian pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018 Rusia (Peringkat Asia).

Pusingan kelayakan itu juga dijadikan kelayakan Piala Asia Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2019, yang mana 12 pasukan terbaik layak ke pusingan akhir secara merit, manakala 12 pasukan lagi ditentukan selepas satu lagi pusingan kelayakan diadakan.

Sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan itu, Hamidin berkata Dollah serta barisan jurulatih dan pegawai teknikalnya, berkemungkinan besar akan dihantar ke Jepun untuk 'berguru' dengan pasukan berkenaan.

"Saya dah bincang dengan JFA (Persatuan Bola Sepak Jepun) untuk memberi keistimewaan kepada kita untuk membuat persiapan atau melakukan kajian khusus dengan pasukan Jepun," katanya.

Mengenai kedudukan skuad negara yang jatuh di tempat ke-164 dalam ranking terbaharu FIFA, beliau berkata ia disebabkan pasukan kebangsaan hanya bermain satu perlawanan sahaja, iaitu aksi persahabatan yang menyaksikan skuad negara tewas 0-6 kepada pasukan Oman.

"...kita tidak boleh pandang ke belakang lagi, sasaran kita untuk layak ke Piala Asia. Kita harap pemain yang dipilih untuk menyertai skuad Dollah pada Mei ini, mempunyai hasrat untuk merealisasikan harapan ini," katanya.

Untuk rekod, Malaysia pernah layak ke Piala Asia sebanyak dua pada 1976 dan 1980, manakala pada 2007, Malaysia layak secara automatik selaku tuan rumah. 

Pada aksi kelayakan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama UAE, Arab Saudi, Palestin dan Timor Leste.

Sebanyak 40 pasukan diundi dalam lapan kumpulan untuk merebut tempat ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia, dan pusingan akhir Piala Asia, dengan setiap pasukan akan bermain lapan kali iaitu empat di halaman sendiri dan empat di tempat lawan.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget