Wednesday, April 15, 2015

Penjaga gol JDT II didakwa aibkan PDRM

Penjaga gol JDT II didakwa aibkan PDRM

Penjaga gawang skuad Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Mohd. Anis Faron Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan meng­aibkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), awal bulan ini.

Penjaga gol JDT II

Mohd. Anis Faron, 33, (gambar) berasal dari Bota, Perak yang juga bekas penjaga gol Skuad Bawah 23 negara mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di Stadium Bandaraya di sini kira-kira pukul 10.50 malam, 3 April lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba mengaibkan PDRM dengan mengeluarkan kata-kata kesat dengan maksud supaya didengari oleh anggota pasukan keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan ketika perlawanan Liga Perdana membabitkan pasukannya dengan tuan rumah.

Dia yang pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti Selangor, Sabah, Felda United, dan Johor FC didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju kemeja denim diwakili peguam, Andy Ooi.

Penjaga gol JDT II

Terdahulu, Andy memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan RM5,000 yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan dengan alasan anak guamnya merupakan pemain bola sepak profesional selain mempunyai tanggungan iaitu seorang isteri yang tidak bekerja serta anak berusia 12 tahun. 

“Anak guam saya yang menetap di Johor Bahru juga patuh perintah mahkamah apabila hadir bagi mendengar pertuduhan kes pada hari ini,” katanya. 

Ujarnya, Mohd. Anis Faron juga terpaksa menyara ibunya yang baru selesai menjalani pembedahan dan perlu menanggung kos rawatan susulan. Majistret L. Umma Devi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Jun ini. 

Dalam kejadian pada 3 April lalu, pemain itu ditahan polis selepas tamat perlawanan membabitkan pasukan JDT II dengan pasukan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya. Penahanan itu berpunca daripada tindakan tidak profesionalnya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pasukan keselamatan yang bertugas. 


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget