PERLIS mengesahkan salah satu slot Liga Premier 2016
milik mereka apabila menewaskan pencabar terdekat di tangga kedua
kumpulan A Liga FAM 2015, Real Mulia FC 2-0 di Stadium Tuanku Syed
Putra, petang tadi.
Biarpun baki saingan masih tinggal satu perlawanan sahaja lagi,
kedudukan semasa Singa Utara ini yang meninggalkan Real Mulia FC dengan
jurang sembilan mata sudah cukup untuk membawa pasukan kendalian bekas
pemain kebangsaan, Yusri Che Lah mara ke final untuk menghadapi juara
kumpulan B pada 30 Ogos ini.
Gol Mohd Syukur Azmi pada minit ke-41 dan Mohd Syafiq pada minit ke-87
nyata mengembirakan penyokong setia Perlis yang dahagakan kejayaan dan
kembali melihat pasukan kesayangan mereka kembali bersaing di peringkat
liga yang lebih kompetitif.
Yusri antara tonggak penting yang berjaya kembali mengangkat martabat
bekas juara Piala Malaysia 2004 dan 2006 menyifatkan kejayaan tersebut
adalah kerjasama berpasukan melibatkan semua pegawai dan pemain.
Menurutnya, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan
Bolasepak Perlis (PFA) kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk
mengendalikan skuad muda Singa Utara musim 2015.
"Terima kasih kepada semua pemain dan pegawai PFA terutamanya presiden,
Datuk Rozabil Abdul Rahman termasuk penyokong Singa Utara yang tidak
pernah putus memberi sokongan kepada kami.
"Perjalanan pasukan ini masih jauh dan jika saya masih diberikan
kepercayaan pada musim 2016, saya akan cuba memberikan yang terbaik,"
katanya kepada Sinar Harian.
Perlis bakal berkunjung ke Negeri Sembilan untuk menghadapi Penjara FC
pada 23 Ogos ini di dalam misi mengekalkan rekod tanpa kalah mereka
selepas perlawanan ke-17 setakat ini.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit