Friday, August 14, 2015

Figueroa watak penting JDT.


Pemain import Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa memainkan peranan utama kepada kejayaan pasukan Harimau Selatan itu menewaskan cabaran Lions XII dalam saingan Liga Super, kelmarin.

Ketua Jurulatih, Mario Gomez membe­ritahu, pemain kelahiran Argentina itu bukan sahaja seorang pe­nyerang yang berbisa, tetapi turut membawa elemen yang diperlukan JDT untuk melakar kejayaan.

"Lucho (Figueroa) merupakan pemain yang amat penting buat kami, dia pemain yang baik dan mempu­nyai banyak pengalaman di peringkat antarabangsa.

"Pengalaman yang dimiliki itu menjadi aspek utama bukan sahaja untuk membantu mening­katkan taraf permainan rakan sepasukan, tetapi juga untuk menghasilkan kemenangan," katanya selepas Harimau Selatan menewaskan Lions XII 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Gol kemenangan dihasilkan Figueroa pada minit ke-55 perlawanan setelah memperdaya penjaga gol lawan, Izwan Mahbud hasil hantaran daripada S. Kunalan.

Kemenangan tersebut menjamin tiga mata buat JDT, sekali gus memastikan mereka kekal menerajui carta Liga Super dengan 43 mata, satu mata melebihi Pahang.

Ujar Gomez, kemenangan yang diraih anak-anak buahnya itu amat penting pada ketika saingan liga hanya berbaki tiga perlawanan.

"Semestinya saya gembira dengan kemenangan kerana perlawanan malam ini amat penting buat kami.

“Berjaya menundukkan Lions XII adalah satu kejayaan kerana mereka merupakan satu pasukan yang bagus, di mana mereka berjaya menewaskan Pahang minggu lalu," katanya.

Tambah Gomez, anak-anak buahnya menunjukkkan permainan yang baik. khususnya pada separuh masa kedua perlawanan.

Mereka berjaya menghasilkan lebih banyak serangan ke atas pihak lawan.

-UTUSAN

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget