Kedah mungkin mampu bergelar juara Liga Perdana lebih awal daripada yang disangka sekiranya menumpaskan Negeri Sembilan di Paroi malam ini, sambil dua pencabar rapatnya, T-Team dan Pulau Pinang tewas dalam perlawanan masing-masing.
Pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe bagaimanapun menegaskan, beliau tidak berminat untuk meramal mengenai keputusan pasukan lain, sebaliknya hanya mahu memberi tumpuan kepada pasukannya sendiri.
Malah tegasnya, beliau tidak kisah sama ada pesaing mereka menang atau kalah dalam perlawanan mereka kerana yang penting skuad Lang Merah tetap akan bergelar juara jika memenangi semua baki tiga perlawanan.
“Saya menyedari persaingan untuk merebut juara Liga Perdana semakin sengit di antara tiga pasukan dan ini membuatkan kami tidak boleh keciciran sebarang mata. Beraksi menentang Negeri Sembilan di tempat lawan membuatkan kami sentiasa perlu berwaspada.
“Saya tahu seandainya esok (hari ini) kami menang, manakala pencabar lain (T-Team) tewas ia memberi ruang kepada kami untuk terus menjarakkan diri bagaimanapun saya tidak mengharap belas ihsan daripada pasukan lain. Saya tidak harap pun pasukan lain kalah.
“Apa yang perlu dilakukan adalah fokus kepada pasukan agar kami tidak tercicir sebarang mata kerana saingan liga ketika ini sudah memasuki fasa terakhir. Sebarang kesilapan boleh membawa padah kepada pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak dapat menurunkan pertahanan, Khairul Helmi Johari dan pemain tengah, Muhammad Syazwan Tajuddin akibat mengutip tiga kad kuning.
Kedah yang ketika ini menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul 42 mata selepas mencatat 12 kemenangan enam seri dan satu tewas terus diasak oleh pencabar terdekat T-Team yang dipisahkan empat mata.
Kali terakhir Kedah menjuarai Liga Perdana adalah pada 2006 ketika di bawah pimpinan Mohd. Azraai Khor Abdullah.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit