Monday, August 17, 2015

Exco Pertahan Keputusan FAS Enggan Lepas Tiga Pemain Selangor.


Exco kerajaan Selangor Amirudin Shaari hari ini mempertahankan tindakan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang enggan melepaskan tiga pemainnya pada aksi persahabatan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC bulan lepas.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri berkata keputusan itu tepat berikutan faktor jadual Liga Super yang telah beberapa kali berubah dalam tahun ini menyebabkan pemain keletihan.

"Saya ingin jelaskan tiada pertelingkahan antara FAS dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)...hanya sedikit perbezaan berhubung perkara ini. Cuma jadual perlawanan yang padat menyebabkan pemain keletihan selain berdepan risiko kecederaan.

"Perlawanan menentang Liverpool FC juga tidak memberi impak kepada skuad Harimau Malaya kerana ia bukan perlawanan yang membawa mata kepada ranking Malaysia dalam kedudukan ranking FIFA," katanya yang juga pengurus pasukan Bola Sepak Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) yang ingin tahu sebab utama FAS enggan melepaskan pemain Selangor kepada pasukan kebangsaan dalam persediaan menentang Liverpool FC.

Amirudin sebelum ini dilaporkan bertegas untuk tidak melepaskan Mohd Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain import dari Australia, Robert Cornwaithe untuk sesi latihan pusat bagi aksi persahabatan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Skuad Pilihan Malaysia seri 1-1 menentang Liverpool FC pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 Julai lepas.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan berkata Jawatankuasa Status FAM akan menentukan nasib tiga pemain itu yang dikatakan enggan dilepaskan oleh FAS untuk aksi persahabatan menentang Liverpool FC.

Sebagai rekod, pada 2008 Selangor pernah dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dan didenda RM20,000 oleh FAM berikutan empat pemain mereka meninggalkan klinik bola sepak Ian Rush.

-- BERNAMA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget