Skuad wanita negara layak ke separuh akhir selepas mengalahkan Ghana 2-0 pada saingan suku akhir pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Stadium Nasional Major Dhyan Chand, di New Delhi, semalam.
Malaysia, selaku pasukan ranking ke-21 dunia, membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti oleh Norazlin Sumantri sebelum Anis Anis Nadia Onn menambah gol kedua menerusi jaringan padang pada minit ke-25.
Pada saingan separuh akhir Sabtu ini, Malaysia akan menentang Poland.
Sebelum itu, Poland, selaku naib juara Kumpulan A, menewaskan Rusia 4-2 pada satu lagi perlawanan suku akhir.
Pengurus pasukan, Ernawati Mahmud yakin pasukan negara mampu mengatasi Poland, yang menghuni ranking ke-26 dunia, sebelum layak ke final.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan rekod tanpa kalah skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim serta tanpa membolos gol sepanjang saingan hingga peringkat suku akhir.
Dalam pada itu, pasukan pilihan utama, India turut melangkah ke separuh akhir selepas membelasah Singapura 10-0.
India akan berdepan dengan Thailand pada perlawanan separuh akhir.
Thailand menempah slot separuh akhir selepas menang tipis 4-3 ke atas Kazakhstan dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Dua pasukan terbaik pada kejohanan ini akan menempah tiket secara automatik ke pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Sepanyol dari 10 hingga 21 Jun ini dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro tahun depan.
-Bernama
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit