Jaringan pada penghujung perlawanan oleh pemain pertahanan Asraruddin Putra Omar membantu Johor Darul Tazim (JDT) menewaskan wakil Singapura, Balestier Khalsa FC dengan keputusan 1-0 dalam saingan Kumpulan F, Piala AFC di Stadium Jalan Besar, di sini semalam.
Aksi pada separuh masa pertama ternyata perlahan apabila kedua-dua pasukan mengamalkan corak permainan berhati-hati yang menyebabkan perlawanan agak hambar.
Kelab Singapura itu dilihat lebih banyak membuat serangan ke arah pintu gol pasukan pelawat pada minit-minit awal permainan namun penjaga gol JDT, Mohd. Izham Tarmizi bertindak cemerlang memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Peluang terbaik JDT muncul pada minit ke-22 apabila Amri Yahyah menanduk kencang bola hantaran Nazrin Nawi namun bola sekadar menggegar palang gol.
Penyerang kebangsaan, Safee Sali berpeluang mencatatkan nama sebagai penjaring pada minit ke-43 melalui situasi kucar-kacir di dalam kawasan lawan namun tendangannya di hadapan pintu gol tersasar.
JDT meningkatkan momentum dengan mempamerkan aksi lebih bertenaga pada separuh masa kedua apabila Safiq Rahim dan Hariss Harun dibawa masuk sebagai pemain gantian semasa perlawanan masih berbaki kira-kira 20 minit.
Amri Yahyah berjaya menewaskan penjaga gol pasukan tuan rumah, Zaiful Nizam Abdullah pada minit ke-86 selepas menyambut bola tandukan Safee tetapi jaringannya dibatalkan disebabkan kedudukan ofsaid.
Stadium Jalan Besar akhirnya gamat dengan sorakan ratusan penyokong JDT apabila Asraruddin berjaya menyempurnakan hantaran Hariss pada minit ke-93 sekali gus membawa tiga mata berharga ke Johor Bahru.
- UTUSAN
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit