FAM pasrah apa jua hukuman FIFA
Selepas membalas surat tunjuk sebab yang dituntut oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Jumaat lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini pasrah menunggu apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka.
Malah, sekali pun terlepas daripada hukuman berat FIFA, FAM masih berdepan kemungkinan menerima tindakan daripada Pesuruhjaya Sukan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, selepas membalas surat FIFA, mereka akan menjawab pula surat tunjuk sebab yang dikemukakan oleh Pesuruhjaya Sukan selewat-lewatnya hari ini.
Katanya, FAM kemudian hanya menunggu apakah tindakan selanjutnya yang bakal diambil oleh kedua-dua pihak berkenaan ekoran kekecohan yang ditimbulkan penyokong dalam perlawanan melibatkan skuad kebangsaan baru-baru ini.
FAM sebelum ini diberi masa 14 hari untuk membalas surat tunjuk sebab kepada FIFA dan Pesuruhjaya Sukan selepas menerima surat daripada kedua-dua pihak tersebut pada 9 September.
Itu bermakna, mereka hanya mempunyai tempoh sehingga hari ini untuk memberi hujah mengenai apa yang berlaku dalam insiden 8 September lalu.
Dalam perlawanan tersebut, penyokong Harimau Malaya bertindak liar membakar suar, mercun serta membaling kerusi ketika Malaysia menentang Arab Saudi pada kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam.
Insiden tersebut berlaku ketika tempoh permainan berbaki dua minit dan selepas gagal mengawal keadaan pengadil dari Hong Kong, Liu Kwok Man terpaksa menghentikan perlawanan tersebut ketika pasukan negara sedang ketinggalan 1-2.
“Kami sudah balas surat tunjuk sebab yang diminta oleh FIFA pada 18 September lalu (Jumaat). Saya tidak pasti, berapa lama FAM perlu tunggu untuk menerima jawapan balas daripada badan dunia itu.
“Surat kepada Pesuruhjaya Sukan pula akan dihantar selewat-lewatnya esok (hari ini),” kata Afandi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Peraturan FAM kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas mengenai jawapan yang diberikan kepada FIFA, Afandi berkata, FAM lebih laporan FAM lebih kepada menjelaskan situasi yang berlaku semasa hari kejadian, malah badan induk dunia itu turut meminta bahan bukti tambahan sebaik sahaja menerima surat tunjuk sebab daripada FAM.
“Kami telah menjawab apa yang dimahukan FIFA malah pada hari yang sama (Jumaat) selepas menghantar surat tersebut mereka turut meminta bukti terhadap beberapa perkara dan kami telah menyerahkannya.
“Laporan tersebut lebih berkisar mengenai SOP (prosedur operasi standard) keselamatan seperti yang dimahukan kerana sebagai tuan rumah tanggungjawab itu memang ada,” katanya.
FAM sebelum ini sudah membayangkan kemungkinan berdepan hukuman berat akibat kegagalan mengawal penyokong mereka dalam insiden memalukan itu.
Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan pernah meramalkan, antara hukuman mungkin dikenakan FIFA adalah memberi kemenangan kepada pasukan pelawat (3-0), denda AS$400,00 (RM1.71 juta) dan perlu beraksi dalam dua atau tiga perlawanan kelayakan tanpa penonton.
Kejadian tersebut turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Khairy tidak menolak kemungkinan terpaksa mengambil langkah ‘lebih drastik’ ke atas FAM, termasuk menggantung badan induk bola sepak negara itu dengan menggunakan Akta Pembangunan Sukan 1997.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit