Thursday, September 17, 2015

Bojan berhajat latih Harimau Malaya

Bojan berhajat latih Harimau Malaya



Jurulatih yang membawa Johor Darul Ta’zim menjulang trofi Liga Super musim lalu, Bojan Hodak menyatakan minat untuk membimbing skuad kebangsaan menggantikan Dollah Salleh.

Hodak, 44, yang juga pernah mengubah Kelantan menjadi pasukan digeruni selepas memulakan kariernya di negara ini dengan mem­bimbing UPB-MyTeam, tanpa berselindung memberitahu dia berminat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Dollah yang meletakkan jawatannya pada 4 September lalu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengiklankan dua jawatan kosong iaitu pengendali skuad senior kebangsaan dan jurulatih skuad Bawah 23 setelah Dollah melepaskan jawatan, dan Hodak berminat untuk mencuba nasibnya.

Bagaimanapun Hodak memberi­tahu dia tidak mengetahui apa­kah kriteria utama calon yang dimahukan oleh badan induk bola sepak tempatan itu berkenaan namun berdasarkan kejayaan yang pernah dikecapinya sebelum ini membuatkan jurulatih dari Crotia itu yakin dia layak mengisi kerusi panas tersebut, yang kini disandang sementara oleh jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee.

“Sudah ramai pihak bertanya kepada saya mengenai hal ini (mohon jawatan jurulatih kebangsaan). Saya menjawab saya berminat untuk mendapatkan jawatan tersebut. Bagaimanapun tertakluk kepada FAM kerana pengendali skuad kebangsaan merupakan posisi terpenting dan tidak semesti­nya anda mahu anda boleh memohon.

“Saya tidak tahu apakah kriteria yang ditetapkan oleh FAM tapi jika diukur dari segi kejayaan serta trofi yang dimenangi saya fikir saya ada peluang. Saya tidak pasti jika ada jurulatih lain yang memiliki koleksi trofi lebih daripada saya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Antara kejayaan yang pernah dikecapi oleh Hodak adalah membantu Kelantan merangkul kejua­raan treble Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA pada musim 2012 sebelum membantu JDT muncul juara Liga Super 2014.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dia bersedia untuk mengisi jawatan panas tersebut selepas skuad negara diaibkan 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019, Hodak hanya menjawab dia mempunyai perancangan tersendiri yang se­olah-olah membuktikan dia tetap yakin dengan masa depan bola sepak negara.

“Lihat apa yang TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) telah lakukan. Selepas beliau melibatkan diri dalam bola sepak tempatan banyak perkara yang telah berubah. Beliau melaburkan duit, menarik minat dan kemudian membawa masuk pemain import berkualiti dan dalam tempoh tiga tahun mereka menunjukkan peningkatan.

“Anda boleh lihat sendiri keputusan yang mereka catatkan dalam saingan Piala AFC. Ini menunjukkan pemain Malaysia adalah lebih bagus daripada ranking 170 FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa). Pasukan kebangsaan boleh dibentuk dengan lebih baik.

“Liga Malaysia sudah menunjukkan perkembangan positif malah pemain juga sudah mempamerkan peningkatan prestasi cuma mereka perlu meneruskan kecemerlangan tersebut di pentas antarabangsa dan sudah pasti pemain ini perlu disusun dengan baik,” katanya lagi.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget