Thursday, September 17, 2015

PPBN, QPR jalin kerjasama pembangunan bola sepak jangka panjang

PPBN, QPR jalin kerjasama pembangunan bola sepak jangka panjang

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) menjalinkan kerjasama strategik dengan kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) bagi menjalankan usaha pembangunan bola sepak untuk jangka masa panjang.
Perjanjian kerjasama itu ditandatangani pada satu majlis ringkas di United Kingdom pada semalam. 

Serentak dengan itu juga, Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim turut dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Teknikal di Asia untuk QPR. PPBN menerusi kenyataan memaklumkan menerusi kerjasama strategik berkenaan, QPR akan menghulurkan bantuan kewangan, teknikal dan lain-lain program pembangunan jangka panjang bersama, yang komprehensif dan menyeluruh. 

Inisiatif berkenaan, menurut PPBN dijangka dapat membantu misi mereka dalam mencapai semua matlamat yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang meliputi beberapa teras strategik pembangunan termasuklah melahirkan pemain berkualiti tinggi di seluruh pelusuk negara. 

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah bekas pemain antarabangsa England dan Pengarah Bola Sepak QPR Les Ferdinand; duta kelab, Andy Sinton, wakil pengurusan QPR serta wakil pengurusan dan barisan jurulatih PPBN yang mengikuti Program Jelajah United Kingdom skuad Bawah 13 tahun di bawah program berkenaan. 

Program Jelajah United Kingdom adalah yang kedua diadakan oleh PPBN selepas kali pertama pada tahun lalu yang menyaksikan skuad B-13 di bawah program berkenaan terbabit dalam aksi persahabatan dengan beberapa kelab di negara berkenaan seperti Reading, Ipswich, Tottenham Hotspur dan Chelsea. 

Kira-kira 15,000 kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 17 tahun sedang dilatih oleh 700 jurulatih di 80 pusat latihan PBBN sejak program berkenaan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu. 

PPBN adalah satu pelan jangka panjang pembangunan bola sepak negara, di mana fasa pertama akan bermula dari tahun 2014 sehingga 2020 dan fasa kedua bermula dari tahun 2021 sehingga 2030. - BERNAMA


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget