FAM kena ‘keluar’ cari jurulatih
Tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengiklankan dua jawatan kosong iaitu ketua jurulatih skuad kebangsaan dan pengendali Bawah 23 bukan perkara baharu kerana badan induk itu pernah melakukan perkara yang sama sebelum ini, kata bekas setiausaha agungnya, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.
Ibrahim bagaimanapun mencadangkan agar FAM juga turun padang dan melakukan kajian untuk mendapatkan calon yang bersesuaian untuk menggalas dua jawatan itu, dan bukan sekadar meneliti calon daripada kalangan yang memohon sahaja.
“Pada saya perkara tersebut (iklan jawatan jurulatih) bukan benda baharu dilakukan sebab sebelum ini mereka pernah juga melakukannya, ketika itu Allan Harris menjadi pengendali pasukan. Masa itu iklan tersebut hanya terbuka kepada warga asing sahaja tapi mungkin kali ini jurulatih tempatan atau luar pun boleh memohon.
“Walaupun jawatan tersebut diiklankan secara terbuka untuk mana-mana pihak memohonnya badan induk bola sepak negara itu pada masa sama perlu berusaha mencari calon yang dirasakan bersesuaian kerana mereka tidak boleh membuat keputusan tangkap muat iaitu pilih sahaja siapa yang ada (dari kalangan pemohon).
“Apabila keputusan dibuat iaitu siapa yang bakal mengisi jawatan tersebut, peminat khususnya tidak boleh memberi harapan terlalu tinggi kerana mereka mungkin tidak mengetahui siapa calon berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah Ibrahim, walaupun badan induk itu berusaha untuk mencari pengganti Dollah Salleh, yang meletakkan jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya pada 4 September selepas dibelasah 0-10 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakkan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, namun itu bukan jalan penyelesaiannya.
Ibrahim, sebaliknya beliau memberi penekanan terhadap apakah langkah yang patut diambil oleh FAM untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak negara kerana menukar jurulatih belum menjamin sesuatu yang pasti.
“Dalam pembangunan bola sepak, FAM ada dua pilihan untuk dilakukan iaitu menggunakan pemain naturalisasi tapi ini hanya bersifat sementara, atau bermula dari peringkat akar umbi untuk jangka masa panjang,” katanya lagi.
Tempat Dollah kini disandang oleh jurulatih skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee untuk sementara. Perlawanan pertama Kim Swee ialah menentang Arab Saudi dalam kempen dwi kelayakan kejohanan antarabangsa itu yang berakhir dengan perlawanan itu tergantung ketika Malaysia mengekori 1-2 apabila Ultras Malaya merusuh di Stadium Shah Alam minggu lalu.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit