-->

Tuesday, August 25, 2015

Maybank tarik diri taja Golf Terbuka Malaysia

Golf Terbuka Malaysia

Maybank tarik diri taja Golf Terbuka Malaysia

Tak puas hati penjelasan MGA

Selepas sembilan tahun menjadi penaja utama Terbuka Malaysia, Maybank mengambil tindakan mengejut apabila menarik diri, sekali gus meninggalkan kejohanan golf berprestij itu dalam keadaan tidak menentu.

Mula diperkenalkan pada 1962 menjadikan Terbuka Malaysia sebagai kejohanan golf tertua di negara ini.

Malah, kemasukan Maybank sebagai penaja utama bermula dari 2006 meningkatlah lagi prestij pertandingan yang diiktiraf bersama oleh Jelajah Eropah dan Jelajah Asia itu.

Golf Terbuka Malaysia
Tan Sri Anwar Mohd. Nor (3 dari kiri)

Bagaimanapun semalam, Pre­si­den Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Anwar Mohd. Nor membuat pengumuman mengejut, Maybank tidak akan lagi menaja kejohanan yang telah banyak menaikkan nama Malaysia di pe­ringkat antarabangsa itu.

Perkara tersebut dimaklumkan kepada mereka menerusi sepucuk surat yang dihantar pada 9 Julai lalu.

Anwar bagaimanapun memberi jaminan, MGA akan melakukan segala yang terdaya untuk mendapatkan penaja baharu dan memastikan edisi ke-54 kejohanan tahun depan tetap diteruskan. Namun, tarikh dan lokasi pertandingan hanya akan diputuskan dalam tempoh sebulan lagi.

Menjelaskan apa yang berlaku, Anwar berkata, pada mulanya Maybank menerusi Pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor bersetuju untuk terus menjadi penaja, namun menarik diri tanpa memberi sebarang penjelasan mengenai perkara itu.

“Selepas menerima persetujuan daripada Maybank, kami mengadakan proses tender terbuka untuk mencari promoter yang bersesuaian bagi edisi 2016-2018 dan dua kertas cadangan terbaik diterima daripada WSG (World Sport Group) dan Parallel Media Group (PMG).

Global One pula memaklumkan merekat tidak mampu mengikut terma yang ditetapkan untuk tempoh tersebut.


“WSG kemudian dipilih untuk tempoh tersebut dan pada 17 Jun, pertemuan antara wakil MGA, WSG dan Maybank diadakan bagi memuktamadkan segala keperluan bagi kejohanan itu dan kertas cadangan bagi perkara itu disahkan memenuhi segala ke­perluan.

“Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Maybank, Adam Abdullah kemudian menyerahkan dokumen itu kepada Pengerusi Maybank untuk diputuskan.

“Kemudian kami menerima surat yang menyatakan Maybank menarik diri daripada menjadi penaja kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan terhadap peranan mereka selaku penaja.

“Kami kemudian menghantar surat kepada Maybank bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklumat rasmi daripada mereka,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Difahamkan, MGA dan Maybank gagal mencapai kata sepakat berhubung beberapa perkara utama, termasuk pemilihan WSG, syarikat pengurusan dan pemasaran acara sukan yang berpangkalan di Singapura sebagai menggantikan Global One.

Dipercayai, antara perkara lain yang turut menjadi punca ialah MGA tidak akan menganjurkan kejohanan itu pada Februari se­perti kebiasaan, sekali gus membuatkan kejohanan itu tidak akan berada dalam Jelajah Eropah.

Maybank juga dikatakan mahu kejohanan diadakan di Kelab Golf Diraja Selangor dan bukan di Kuala Lumpur Golf and Counrty Club (KLGCC).

Meskipun Maybank tidak lagi menjadi penaja, namun Anwar memberi jaminan bahawa hayat kejohanan golf tertua di Malaysia itu tidak akan terhenti.


- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/golf/apa-nasib-terbuka-malaysia-1.128110#sthash.H62l1LMX.dpuf



Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget