Thursday, August 20, 2015

Cheng Hoe cari idea kukuhkan benteng Kedah.



Kemenangan 3-2 ke atas Sabah melegakan penyokong Kedah yang amat mengharapkan agar pasukan itu mampu untuk menjuarai Liga Perdana musim ini, seterusnya layak ke Liga Super musim depan, tetapi tidak bagi Tan Cheng Hoe.

Jurulatih skuad Lang Merah itu kini berusaha mencari penyelesaian kepada masalah skuadnya dan formula itu perlu ditemuinya sebelum perlawanan terakhir liga menentang DRB-Hicom setelah pasukannya bolos enam gol dalam tiga perlawanan terakhir.

Mengakui gol-gol yang dilepaskan kebanyakannya disebabkan kelekaan sendiri, Cheng Hoe mahu barisan pertahanan yang diketuai Khairul Helmi Johari dan Bang Seung Hwan agar lebih ampuh terhadap asakan lawan.

“Apa pun perlawanan malam ini (kelmarin) bukan mudah kerana saya sudah menjangkakan pemain kita yang rata-ratanya mentah dari segi pengalaman, akan gemuruh beraksi dalam perlawanan penting disaksikan begitu ramai penonton yang meletakkan harapan amat tinggi.

“Ditambah dengan ketiadaan pemain import, Liridon Krasniqi yang digantung perlawanan, pemain jelas gugup sehinggakan kami ketinggalan dua kali. Namun kami bersyukur kerana dapat kembali fokus untuk mencari gol kemenangan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, puluhan ribu penonton yang membanjiri Stadium Darul Aman nyata tidak berpuas hati dengan permainan ditampilkan Lang Merah pada separuh masa pertama sehingga menyebabkan Cheng Hoe dan anak buahnya dimaki ketika berjalan ke bilik persalinan dalam keadaan ketinggalan 1-2.

-UTUSAN

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget