Thursday, August 20, 2015

Khairy Umum Skim Elaun Latihan Atlet Berkuatkuasa Bulan Depan


Atlet kebangsaan bakal menikmati elaun lebih lumayan di bawah Skim Elaun Latihan Atlet yang berkuatkuasa bulan depan dengan pemenang pingat emas Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia mampu menerima RM3,500 sebulan.

Kadar tersebut adalah jumlah sama yang dinikmati pemenang pingat Sukan Olimpik mengikut skim sedia ada, manakala elaun baharu bagi pemenang pingat di temasya sukan terbesar dunia itu akan diumumkan ketika pelancaran Program Podium kendalian Institut Sukan Negara, bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika mengumumkannya hari ini, berkata pada masa sama elaun asas bulanan atlet senior dinaikkan daripada RM500 kepada RM800 manakala atlet pelapis menerima RM500 berbanding RM350 sebelum ini.

"Skim elaun atlet yang diperkenalkan pada 2007, tidak pernah dikaji atau dipinda sebelum ini. Elaun baharu ini adalah berdasarkan kepada merit prestasi atlet itu sendiri.

"Sebelum ini, elaun asas ditetapkan RM500 dan paling tinggi ialah RM3,500 iaitu bagi pemenang pingat Sukan Olimpik," katanya pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan Majlis Sukan Negara Rabu malam.

Khairy berkata elaun tersebut merangkumi atlet senior separa masa dan atlet yang cedera dalam proses pemulihan melebihi tempoh enam bulan iaitu RM500 sebulan.

Menurutnya, bagi peringkat Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia, pemenang pingat emas akan menerima RM3,500 diikuti pemenang pingat perak dan gangsa, masing-masing RM3,000 dan RM2,500 sebulan.

Atlet yang memenangi pingat di kejohanan individu peringkat Asia dan Komanwel pula, akan menerima elaun bulanan RM2,500 sebulan bagi pingat emas manakala perak dan gangsa pula masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,500 sebulan.

Khairy berkata, pemenang pingat emas Sukan SEA turut menerima kenaikan elaun iaitu pemenang pingat emas menerima elaun RM2,000, pingat perak RM1,500 dan pingat gangsa RM1,000 sebulan..

-- BERNAMA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget