Monday, August 24, 2015

Bukan kerana tuah – Gomez

http://johorsoutherntigers.com.my/wp-content/uploads/2015/08/celebration.jpg

  Kejayaan kami bukan disebabkan tuah

Itu tegas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez selepas membimbing pasukannya menjulang trofi Liga Super untuk kali kedua berturut-turut meskipun mereka terpaksa memilih laluan berliku selepas tewas 1-2 kepada Felda United di Selayang kelmarin.

Kelebihan dua mata yang dimiliki oleh Harimau Selatan ketika mereka menghuni tangga teratas liga sebelum menamatkan kempen berjaya menyelamatkan mereka apabila pencabar terdekat Pahang tewas 1-3 kepada Terengganu di Kuala Terengganu.

Gomez berkata, aksi konsisten serta memenangi banyak perlawanan merupakan kunci utama kejayaan pasukan mereka meskipun pada satu ketika JDT mengalami kekalahan namun atas usaha dan semangat pemain yang tinggi gelaran juara berjaya dipertahankan.

“Ini bukan sebab tuah. Kami menang dalam kebanyakan perlawanan, cuma beberapa perlawanan sahaja kami tewas. Apa yang pen­ting kemenangan dalam perlawanan sebelum ini telah membantu kejayaan pasukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Junior Eldstal menerima kad merah selepas mengkasari Makeche Ndumba sekali gus dihadiahkan sepakan pe­nalti namun secara peribadi Gomez berpendapat layangan kad merah tersebut tidak wajar.

“Bagi saya tidak perlu ada sepakan penalti dan juga kad merah namun saya tetap menerima keputusan pengadil itu. Walaupun kami beraksi dengan 10 pemain namun mereka tetap memberi tentangan hebat kepada lawan.

“Menjadi juara liga adalah pen­ting untuk pasukan dan sekiranya anda tidak memiliki pemain yang hebat sukar untuk anda menjadi juara. Kejayaan ini sangat mengujakan... walaupun baru empat bulan saya bersama pasukan tapi telah berjaya menjadi juara Liga Super dan ini penting untuk karier saya, pasukan dan penyokong,” katanya.

Sementara itu, kapten Harimau Selatan, Mohd. Safiq Rahim senada dengan Gomez malah menyifatkan kejayaan mereka adalah bertunjangkan usaha keras sepasukan, pegawai serta pihak pengurusan.

“Walaupun keputusan (perlawanan terakhir) kurang baik untuk pasukan namun kami tetap berjaya menjadi juara dua tahun berturut-turut. Ini semua adalah hasil kerja keras daripada pihak pengurusan pasukan, pemain serta pegawai pasukan,” katanya.



http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/bukan-kerana-tuah-8211-gomez-1.127749#sthash.Ntlt2tNt.dpuf


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget