Monday, July 20, 2015

Dollah beralih kepada JDT?

Dollah beralih kepada JDT?



Status pasukan Sela­ngor dan Pahang yang enggan memberi pelepasan kepada pemainnya bagi mewakili Pilihan Malaysia dalam perlawanan menentang Li­verpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Julai belum menemui kata putus. 

Sekiranya pemain yang dipanggil tidak menyertai kem latihan, kemungkinan besar jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh akan memanggil pemain JDT seperti bintang tengah, Mohd. Safiq Rahim dan penyerang, Mohd. Amri Yahyah yang berada dalam senarai menunggu. 

Namun segalanya hanya akan terjawab hari ini apabila semua pemain melapor diri untuk menentang kelab Liga Perdana Inggeris itu. 

Semalam, jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan memaklumkan kepada Dollah, penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme tidak dilepaskan kerana dikhuatiri bakal mengalami kece­deraan ekoran jadual perlawanan Tok Gajah yang padat. 

Situasi itu memaksa Dollah ber­alih kepada penyerang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dramane Traore yang merekod 14 gol sepanjang 14 perlawanan Liga Super. Isnin lalu, kapten Pahang, Razman Roslan menyuarakan hasrat untuk menarik diri daripada aksi menentang Reds kerana tidak cukup bersedia. 

Namun, dia sedia menarik semula hasrat tersebut jika Dollah tetap menagih sentuhannya. Sehari kemudian, Pahang dan Selangor memberi bayangan mahu menyekat pemain mereka daripada terlibat dalam perlawanan itu. 

Dollah ketika dihubungi me­ngakui, sehingga hari ini beliau belum pasti apakah status kesemua pemain yang dipanggil, malah tidak boleh mengeluarkan komen selagi pendaftaran belum dibuat. 

“Setakat ini tiada perubahan. Senarai akhir pemain yang bakal mewakili Pilihan Malaysia ha­nya akan diketahui esok (hari ini) apabila mereka datang lapor diri. 
“Buat masa sekarang saya belum menerima sebarang jawapan me­ngenai status pemain yang tidak diberi pelepasan. 
“Sekiranya ada pemain yang dipanggil tidak me­lapor diri, kami akan fikirkan apa perancangan selanjutnya. Kami ada sedikit bayangan. 
“Sepatutnya setiap pemain harus mempunyai jiwa dan semangat tinggi untuk mewakili negara, biarpun hanya aksi persahabatan tetapi kita kena hormat tugas negara,” katanya kepada ­Mingguan Malaysia. 

Untuk perlawanan menentang Liverpool, Dollah menyenaraikan tiga pemain Selangor iaitu Ahmad Haz­wan Bakri, Robert Cornth­waite dan Mohd. Afiq Azmi. 

Dua lagi pemain Tok Gajah yang dipanggil selain Razman dan Nwakaeme adalah penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan Azmi dan Azammuddin Mohd. Akil. 

“Mungkin hari ini atau esok saya akan menghubungi PDRM untuk berbincang mengenai Traore,” kata Dollah. 

Pilihan Malaysia kini ha­nya mempunyai enam hari untuk membuat persediaan menentang Liverpool. 

Mereka akan memulakan latihan pertama di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pagi esok.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget