Monday, July 20, 2015

Razman buat pusingan U

Razman buat pusingan U


Selepas menolak panggilan awal Dollah Salleh untuk menyarung jersi Pilihan Malaysia awal minggu lalu, kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan merubah fikiran dengan melapor diri di Wisma Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM), semalam.


Razman, 32, yang merupakan antara pemain pertahanan terbaik dalam Liga Super musim ini merubah fikiran demi mahu membantu Dollah, bekas jurulatihnya dalam skuad Tok Gajah.

“Selepas berbincang dengan jurulatih (Dollah)...Dia benar-benar memerlukan khidmat saya untuk membantu pasukan, jadi setelah berfikir panjang saya mengambil keputusan untuk bermain dalam perlawanan itu.

“Lagipun saya faham situasi dia (Dollah) sekarang yang kini meng­hadapi masalah kekurangan pemain, apa yang pasti saya akan memberikan komitmen 100 peratus buat pasukan.

“Sebelum ini saya rasa sudah bersedia tapi tak ada (tak dipanggil) jadi saya pun tak meletakkan harapan tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu, kapten skuad Tok Gajah itu menyuarakan hasrat tidak mahu menyertai latihan pasukan Pilihan Malaysia bagi menghadapi aksi persahabatan dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool, Jumaat ini.

Sebaik mendapat tahu namanya disenaraikan dalam skuad 20 pemain, dia terus menghubungi pe­ngendali kebangsaan itu untuk menarik diri.

Tambah Razman, dia menafikan bahawa berkecil hati kerana sudah lama diketepikan daripada skuad kebangsaan sebelum ini, sebaliknya hanya menyatakan alasan tidak bersedia untuk melaporkan diri bagi latihan pusat bermula 19 Julai ini.

“Tidak pernah ada perasaan kecil hati kerana kita sebagai pemain profesional sentiasa mempamerkan aksi terbaik dalam liga supaya dipanggil untuk menyertai skuad negara.

“Namun sekiranya tidak dipanggil bermakna banyak lagi perlu diperbaiki dan tahap permainan juga harus dipertingkatkan agar dapat menarik perhatian jurulatih yang melatih skuad kebangsaan,” jelasnya.

Dollah yang merupakan bekas pengendali skuad Tok Gajah 2009 hingga 2013 itu bukannya asing bagi Razman kerana mereka pernah berkerjasama ketika Pahang menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga menewaskan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir.

Razman bukan saja dianggap penting bagi aksi menentang Li­verpool, malah dengan prestasi baik­nya ketika ini bersama pendahulu Liga Super Pahang, khidmatnya juga ditagih untuk membantu Harimau Malaya menghadapi baki perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Bagaimanapun, jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan mengesahkan hanya penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme tidak dilepaskan kerana khuatiri bakal mengalami kecederaan, namun tiga lagi pemain Tok Gajah diberi pelepasan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) iaitu, Razman, Mohd. Azzamuddin Akil dan Khairul Azhan Khalid.

http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/razman-buat-pusingan-u-1.114911#sthash.S3SryuMe.dpuf

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget