Selangor buat Dollah pening
Tinggal empat hari sahaja lagi menjelang perlawanan persahabatan menentang Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil, namun pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh masih menemui jalan buntu untuk membentuk skuad terbaiknya.
Tatkala Pahang membuat pusingan U dengan membenarkan semula semua pemain tempatan mereka mengikuti sesi latihan yang akan bermula hari ini, perkara sebaliknya berlaku kepada Selangor yang bertegas menyekat jenteranya daripada terlibat dalam aksi tersebut.
Ketiadaan wakil skuad Red Giants yang terdiri daripada Ahmad Hazwan Bakri di bahagian tengah, Afiq Azmi (serangan) dan Robert Cornthwaite (pertahanan) menyebabkan beberapa posisi Pilihan Malaysia lompong.
Menurut pengurus Selangor, Amirudin Shari, pihaknya berkeras dengan keputusan tersebut kerana mahu menumpukan perhatian dalam kempen Liga Super dan sedia bertanggungjawab dalam menghadapi hukuman.
“Salam Eidulfitri - Saya ingin tegaskan pengurusan pasukan Selangor tidak melepaskan pemain untuk perlawanan persahabatan dengan Liverpool.
“Saya ambil segala tanggungjawab untuk keputusan ini kerana kepentingan liga agak mendesak kepada pasukan Selangor.
“Jika pihak tertentu rasakan ini langgar peraturan saya harap pemain-pemain tak di hukum, (sebaliknya) pengurusan akan hadapinya. Arahan ini datang daripada saya,” katanya yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Selangor menerusi laman sosial Twitter, semalam.
Situasi tersebut jelas memeningkan kepala jurulatih Dollah. Bagaimanapun, jurulatih berusia 52 tahun itu masih memiliki talian hayat andainya pemain yang dipanggil tidak menyertai kem latihan.
Jalan penyelesaiannya adalah dengan memanggil pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti bintang tengah, Safiq Rahim dan penyerang, Mohd. Amri Yahyah yang berada dalam senarai menunggu.
Dollah ketika dihubungi mengakui, sehingga hari ini beliau belum pasti apakah status kesemua pemain yang dipanggil.
Malah, jurulatih Harimau Malaya itu tidak boleh mengeluarkan sebarang komen selagi belum melihat senarai pemain-pemain yang sudah melaporkan diri untuk menentang juara 18 kali Liga Perdana Inggeris, Liverpool.
“Saya tak dapat lagi maklumat terperinci tentang pemain yang melaporkan diri.
“Apa-apa perubahan dan perancangan akan saya beritahu esok (hari ini) pada sesi pertama latihan di Wisma FAM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit