Tuesday, May 26, 2015

Sukan SEA: Kim Swee gugur Rozaimi dan Ferris


Rozaimi Abdul Rahman dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir tiada dalam senarai akhir pilihan jurulatih bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi saingan Sukan SEA di Singapura, bulan depan. Kim Swee berkata keputusan menggugurkan dua penyerang berkenaan adalah pilihan paling sukar sepanjang kerjayanya membimbing skuad negara itu.

"Selepas mengambil kira beberapa perkara, saya terpaksa menggugurkan Rozaimi dan Ferris Danial. Saya menilai prestasi semasa semua pemain. Pada hari pertama semua pemain melapor diri, saya sudah beritahu prestasi dan kecergasan pemain paling penting.

"Saya tidak boleh puaskan hati semua orang, sebagai pemain bola sepak, mereka tahu prestasi semasa adalah perkara paling penting," katanya pada sidang media mengumumkan senarai 20 pemain B-23 negara ke Sukan SEA Singapura, di sebuah hotel, di sini malam ini.

Berikutan pengguguran kedua-dua pemain berkenaan, Kim Swee berkata beliau mempunyai Syahrul Azwari Ibrahim dan Saiful Ridzuwan Selamat yang boleh beraksi di bahagian tengah dan serangan skuad B-23 negara. Kim Swee turut melantik pemain pertahanan, Mohamad Fandi Othman sebagai ketua pasukan manakala dua pemain tengah, Gary Steven Robbat dan Mohamad Amer Saidin sebagai pembantu kapten.

"Fandi sudah tiga kali beraksi di Sukan SEA, beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam kejohanan ini dan juga Sukan Asia," katanya.

Ketika ditemui pemberita, Mohamad Fandi berkata sebagai pemain senior dan mempunyai pengalaman beraksi di Sukan SEA, beliau optimis pasukan negara mampu mengulangi kejayaan meraih pingat emas yang dimenangi di Indonesia pada 2011.

"Bagi saya tidak kira siapa ketua, kami sepasukan mempunyai satu misi yang sama dengan membawa pulang pingat emas yang dimenangi sebelum ini. Perlawanan pertama menentang Timor Leste adalah penting...kami akan pastikan meraih tiga mata pertama pada perlawanan itu," kata Mohamad Fandi.

Malaysia berdepan laluan sukar dalam acara bola sepak pada temasya dwitahunan itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste. Skuad muda negara akan membuka kempen menentang Timor Leste pada 30 Mei; Vietnam (2 Jun); Thailand (4 Jun); Brunei (8 Jun) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Laos pada 11 Jun.

Kesemua perlawanan Kumpulan B berlangsung di Stadium Bishan manakala aksi Kumpulan A yang membabitkan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Kemboja di Stadium Jalan Besar.

Senarai 20 pemain skuad negara: Mohd Farhan Abu Bakar, Mohamad Firdaus Muhamad, Shahrul Mohd Saad, Muhamad Syazwan Tajudin, Mohamad Fandi Othman, Nazirul Naim Che Hashim, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, Adam Nor Azlin, Mohamad Amer Saidin, Matthew Thomas Davies, Saarvindran Devanndran, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Saiful Ridzuwan Selamat, Gary Steven Robbat, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan Saari, Syahrul Azwari Ibrahim, Muhammad Faizat Mohamad Ghazli, Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik, Muhamad Syafiq Ahmad dan Kumaahran Sathasivam.

(sumber)

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget