Friday, May 22, 2015

Piala FA: 'Ibarat Malaysia menentang Singapura'

Piala FA: 'Ibarat Malaysia menentang Singapura'

Kelantan vs Lions XII

DEMI maruah negara, Kapten The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi tidak rela Piala FA bertukar tangan kepada Lions XII apabila kedua-dua pasukan itu membuat perhitungan mutlak pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.



Mohd Badhri atau dikenali panggilan Piya berkata, maruah bola sepak negara kini dipikul berat Kelantan namun pasukannya sudah bersedia untuk memastikan trofi kejuaraan itu tidak menyeberangi tambak pada musim ini.

“Pertemuan Kelantan dengan Lions XII ibarat Malaysia menentang Singapura. Saya sedar tanggungjawab ini cukup berat, lebih-lebih lagi harapan tinggi seluruh peminat bola sepak negara yang mahukan Kelantan menewaskan pasukan itu.

“Cukuplah hanya sekali mereka merangkul kejuaraan Liga Super pada tahun 2013, kali ini kami tak mahu Piala FA pula dibawa pulang ke Singapura. Apa cara sekali pun, kami tetap mahukan piala ini terus kekal di bumi Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima penghargaan daripada syarikat GLE Centre Enterprise, pengeluar kopi pracampuran Super Jantan yang merupakan penaja peribadinya, di Kota Bharu, semalam.

Meskipun mengakui tugas rumit untuk menghalang Lions XII melakar sejarah baharu menjulang trofi berkenaan, namun jeneral padang berusia 33 tahun itu menegaskan, dia dan rakan sepasukannya sedikit pun tidak tertekan berdepan skuad bimbingan Fandi Ahmad itu.

“Anda kena tahu, Stadium Nasional itu tidak asing lagi buat Kelantan sejak tujuh tahun lalu. Jadi kami bawa semangat Pahlawan Merah untuk memastikan Lions XII tersungkur malam esok,” katanya.

Sementara itu, perancang tengah Kelantan itu menggesa rakannya di benteng pertahanan merantai pergerakan penyerang sensasi Lions XII, Mohd Khairul Amri Mohd Kamal yang disifatkannya sebagai nadi kekuatan pasukan berstatus kelab itu. 

“Saya akui, Mohd Khairul Amri memang berada pada prestasi terbaik ketika ini. Kelibat dia cukup berbahaya dan kami tidak boleh beri ruang walaupun seinci kepada penyerang itu untuk menjaringkan gol,” katanya.




Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget