Tuesday, March 10, 2015

TMJ tempelak Pengerusi Pengadil FAM


Seperti ‘pulang paku buah keras’, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak Pengerusi Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Goh Ah Chai sebagai jahil dan seperti seorang kha­dam yang mengiakan segala kata tuannya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu juga berkata, Ah Chai juga angkuh serta memberikan jawapan balas cetek terhadap tegurannya mengenai kelemahan mutu pengadilan.

Tunku Ismail berkata, beliau bukannya suka-suka dalam menyampaikan teguran sebaliknya demi kebaikan bola sepak negara namun berasa kesal apabila ada pihak menyalahertikan apa yang dikatakannya.

Tambahnya, FAM semakin hari membuat kesilapan demi kesilapan dan tidak membetulkannya, yang membuatkan beliau cukup sedih kerana FAM terus memilih cara itu untuk beroperasi.

“Perkara yang ada kelemahan kita tegur. Saya tegur bukan sekadar suka-suka. Teguran saya adalah demi pembangunan bola sepak tanah air. Di sini kita mempunyai satu tindak balas cetek dan angkuh daripada seorang lagi wakil jahil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Encik Goh Ah Chai.

“Beliau bagi pihak FAM telah sekali lagi mencabar kecerdasan ribuan rakyat Malaysia yang selama ini menyokong institusi bola sepak. Ribuan penyokong yang datang ke stadium, yang telah bersusah payah mengeluarkan wang poket sendiri kini diberitahu bahawa standard pengadilan sudah cukup baik.

“Benar pengadil adalah manusia, jika demikian apakah pula ribuan peminat bola sepak Malaysia tersebut? Encik Goh Ah Chai adalah satu lagi contoh khadam yang mengiyakan segala kata tuannya. Menyalahkan segala-galanya dan mempersoalkan kebijaksanaan orang lain dengan cara mewajarkan pengadilan yang substandard dan bagai melepas batuk ditangga!

“Encik Goh telah menghina bola sepak de­ngan kata-kata kurang bijak beliau. Berapa banyakkah permainan yang telah beliau tonton untuk musim ini?

“Kejahilan dan keangkuhan adalah kunci kepada kegagalan dan kemusnahan. Persediaan dan kemahuan untuk belajar adalah kunci kepada kejayaan dan kebahagiaan,” katanya dalam akaun Facebook rasmi Johor Southern Tigers (JST) semalam.

Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas Ah Chai berhubung kenyataan TMJ itu gagal apabila beliau tidak menjawab telefon.

Komen pedas Tunku Ismail itu adalah sebagai reaksi beliau terhadap kenyataan Ah Chai dalam sebuah akhbar semalam. Ah Chai dilaporkan berkata hanya individu yang mempunyai kelaya­kan undang-undang bola sepak, sijil pengadil atau sijil kejurulatihan layak memberikan komen mengenai mutu pengadilan.

Selain itu, dia berkata, sebagai manusia biasa pengadil juga tidak lepas daripada melakukan kesilapan dan memberi perbandingan dalam 12 perlawanan, pasti ada satu atau dua pengadil yang bertugas di bawah tahap sebenar.

Walaupun begitu, katanya, seseorang pengadil itu sentiasa akan diperhatikan oleh pegawai penilai dan daripada laporan berkenaan langkah susulan akan diambil sekiranya pengadil tersebut gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

TMJ sebelum itu mengkritik prestasi pengadil perlawanan JDT dan Sarawak, Mohd. Amirul Izwan Yaacob, dan bersetuju dengan pandangan daripada pemain kedua-dua pasukan bahawa mutu pengadilan cukup buruk.

-UTUSAN

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget