Tan Boon Heong kecewa dengan BAM |
Tan Boon Heong akui punca peletakan jawatannya daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rabu lalu disebabkan sudah tidak mempunyai gandingan tetap.
Pemain beregu lelaki negara itu berkata, meninggalkan badan induk berkenaan adalah jalan terbaik buat diri dan masa depan kerjayanya.
"Saya kecewa kerana sudah tiada lagi gandingan. Saya sendiri tidak pasti dengan siapa lagi saya boleh bergandingan jika kekal bersama BAM.
"Sebab itu, saya buat keputusan ini. Saya ucapkan semoga berjaya
kepada semua pemain yang masih ada dalam BAM," kata Boon Heong ketika
dihubungi.
Masa depan Boon Heong, 28, bersama BAM mula suram selepas
gandingannya selama tujuh tahun setengah, Koo Kien Keat membuat
keputusan meninggalkan badan induk itu Februari tahun lalu.
Keputusan Kien Keat menyaksikan Boon Heong tidak mempunyai
gandingan tetap. Dia digandingkan bersama Hoon Thien How dan Ow Yao Han,
namun kedua-dua kombinasi berkenaan gagal menghasilkan keputusan
cemerlang di pentas antarabangsa.
Lebih malang, Thien How lebih dulu meninggalkan BAM bersama seorang
lagi pemain beregu, Lim Khim Wah apabila menghantar surat peletakan
jawatan kepada badan induk berkenaan, bulan lalu.
Mengulas lanjut mengenai perancangannya selepas ini, Boon Heong
kemungkinan besar bergerak secara profesional dan mengakui ada menerima
tawaran daripada penaja untuk menggandingkan dia dan Kien Keat semula.
"Saya belum buat keputusan lagi mengenai perkara ini (kembali
bergandingan dengan Kien Keat) tetapi memang ada tawaran untuk kami
bergandingan semula.
"Saya perlu masa untuk berfikir sebelum buat keputusan. Buat masa sekarang saya mahu berehat dulu," kata Boon Heong.
Sepanjang bersama Kien Keat-Boon Heong, bekas pasangan nombor satu
dunia itu merangkul dua gelaran utama iaitu pingat emas Sukan Asia 2006
dan kejuaraan Seluruh England 2007. Mereka juga hampir meraih gelaran
juara dunia pada tahun 2010 di Paris, Perancis sebelum sekadar muncul
naib juara.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit