Monday, March 9, 2015

Jorge Pereyra Diaz tinggalkan Johor Darul Takzim

Jorge Pereyra Diaz berhijrah ke Brazil

KEJAYAAN menewaskan Sarawak dalam saingan Liga Super malam kelmarin merupakan penampilan terakhir penyerang lincah dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz buat peminat setia pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru.

Ini kerana pemain tersebut yang sudah menabur bakti selama setahun dengan skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu akan meninggalkan bumi Johor bagi menyertai sebuah kelab di Brazil pada April nanti.

Meskipun hanya masuk pada 20 minit terakhir permainan, kelibat Diaz ba­nyak mengubah rentak serangan Harimau Selatan, sekali gus mengubat rindu hati peminat setianya buat kali terakhir di laman sendiri.

Lebih manis, penampilan terakhir pemain itu di Stadium Larkin turut diraikan para penyokong tegar Harimau Selatan, Boys of Strait (BOS) yang mempamerkan tifo besar de­ngan perkataan Sepanyol, ‘Gracias Diaz’ iaitu Terima Kasih Diaz sebaik sahaja tamat perlawanan berkenaan.

Ketua jurulatih Johor DT, Bojan Hodak mengakui, pa­su­kannya sudah pasti akan merasai kehilangan Diaz yang banyak membantu prestasi cemerlang mereka sepanjang musim 2014 sehingga berjaya membawa pulang gelaran juara Liga Super serta layak ke pertandi­ngan Piala Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.

“Tanpa Diaz ‘kehidupan’ kami selepas ini mungkin agak sukar, namun kami harus meneruskan perjuangan.

“Dia seorang pemain yang berkualiti dan banyak membantu kelab ini musim lepas, jadi sudah pasti kami merasai kehilangannya.

“Saya berharap pengganti­nya iaitu Patricio (Julian Rodriguez) serta beberapa pemain baharu yang akan dibeli kelab ini mampu membantu kami seperti apa yang Diaz lakukan, jadi kita tunggu dan lihat sahaja nanti,” jelas Hodak.

Pemain berusia 25 tahun itu tiba di Johor pada Mei tahun lepas dengan harga yang tidak didedahkan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pablo Aimar yang terpaksa dike­tepikan akibat kecederaan.

Diaz yang dilahirkan di La Roja, Argentina pernah beraksi dengan kelab Liga Primera B di Argentina, Ferro Carril Oeste dan pernah membantu Atletico Lanus muncul juara Piala Sundamerica bagi sai­ngan Liga Primera pada 2013.

Sepanjang beraksi dengan Johor DT, Diaz telah menja­ringkan 14 gol daripada 27 perlawanan dalam semua kejo­hanan yang disertai oleh Harimau Selatan pada musim 2014-2015.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget