Monday, March 9, 2015

Pasukan Hoki Wanita Malaysia Benam Rusia 3-0

Skuad hoki wanita Malaysia

Skuad hoki wanita Malaysia mencapai kemenangan kedua selepas membenam Rusia 3-0 pada perlawanan pusingan kedua Liga Dunia Fersekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Stadium Kebangsaan Mejar Dhyan Chand di sini.

Malaysia, yang menumpaskan Kazakhstan 8-0 semalam, bermain dengan berhati-hati pada babak pertama dan tidak dapat menembusi benteng pertahanan Rusia pada separuh masa pertama yang berkesudahan 0-0.

Skuad negara kembali konfiden dan membuat lebih banyak asakan dalam kotak penalti pada babak kedua dengan merembat tiga gol.

Hanis Nadia Onn, yang menjaringkan dua gol semalam, membenam satu lagi gol hari ini dan muncul sebagai penjaring terbanyak bagi pasukan Malaysia.

Dua lagi gol dijaringkan oleh Juliani Mohamad Din dan Fazilla Stylvester Silin.

Jurulatih kebangsaan Malaysia Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata anak buahnya kelihatan gementar apabila berdepan dengan pemain-pemain Rusia yang bertubuh lebih besar pada babak pertama.

"Bagaimanapun, pada separuh masa kedua, mereka kembali yakin dan meningkatkan serangan yang meletakkan Rusia dibebani tekanan.

"Pujian juga harus diberikan kepada barisan pertahanan negara kerana perlawanan hari ini lebih sengit berbanding menentang Kazakhstan", kata Mohd Nasihin yang mengesahkan pasukannya akan menjalani latihan esok walaupun ia hari rehat bagi semua pasukan.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan, Malaysia akan menentang Singapura yang tewas 0-4 kepada Kazakhstan.

Ini merupakan kemenangan kali kedua terhadap Rusia dalam empoh dua tahun selepas kemenangan pertama pada 2013 dengan keputusan 3-1.

Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Rusia, Kazakhstan dan Singapura sementara India, Poland, Ghana dan Thailand dalam Kumpulan A.

Skuad Malaysia, yang menduduki ranking ke-21 hoki wanita dunia, diletakkan sebagai pilihan kedua dalam kalangan lapan pasukan yang mengambil bahagian.

-- BERNAMA


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget