Selangor 4-1 PDRm, Abdul Hadi Yahya meraikan jaringannya untuk gol ketiga Selangor bersama Andik Vermansah |
Mehmet Durakovic percaya Selangor telah membuktikan mereka masih memiliki sentuhan kemenangan seperti yang ditunjukkan ketika membenam PDRM 4-1 dihadapan ribuan penyokong mereka di Stadium Shah Alam kelmarin.
Kemenangan itu adalah yang pertama buat anak-anak buah jurulatih dari Australia itu, yang sebelum ini bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik dengan hanya menyaksikan mereka tewas kepada Terengganu dan seri ketika bertemu Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan sebelumnya.
Walaupun keputusan itu hanya membantu mereka untuk berada tempat kelapan, satu anak tangga lebih baik daripada kedudukan sebelumnya, bagi Durakovic ialah pemain-pemainnya telah menunjukkan prestasi yang bagus.
Menurut Durakovic dia sangat berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya meskipun terpaksa menunggu sehingga perlawanan keempat liga untuk mendapatkan kemenangan pertama.
“Persembahan yang bagus daripada pemain. Mereka cergas, pantas serta mempunyai penyudah yang tajam dalam perlawanan ini dan saya sangat berpuas hati dengan permainan mereka. Malam ini (kelmarin) adalah milik kami.
“Dalam perlawanan terdahulu kami mencipta banyak peluang namun gagal menemui penyudah yang baik tapi pada hari ini semuanya menjadi seperti yang dirancangkan. Akhirnya usaha keras pemain saya berjaya membuahkan hasil.
“Dalam perlawanan ini saya banyak memberi ruang kepada pemain baharu untuk beraksi dan mereka berjaya mempamerkan permainan yang memberangsangkan dan tidak mengecewakan saya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Selangor lebih dahulu mendahului PDRM, yang menjadi tuan rumah di gelanggang keramat Red Giants itu, apabila Ahmad Hazwan Bakri bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan PDRM, V. Thirumugan untuk menjaringkan gol pada minit ke-23.
Tiga lagi jaringan Red Giants dihasilkan oleh Mohd. Afiq Azmi pada minit ke-46, Abdul Hadi Yahaya (minit ke-76) dan Guilerme De Paula (minit ke-80). Gol tunggal tuan rumah dihasilkan oleh penyerang dari Mali, Dramane Traore pada minit ke-54.
Dalam pada itu, pengendali dari Australia itu semakin yakin dengan barisan pemain yang dimilikinya, malah berasa pasukannya berada dalam keadaan terbaik meskipun tidak mempunyai pemain ternama
-UTUSAN
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit