Tuesday, September 22, 2015

Tubuh jawatankuasa khas 
lantik jurulatih kebangsaan

Tubuh jawatankuasa khas 
lantik jurulatih kebangsaan

Legenda bola sepak negara, Dali Omar mencadangkan agar satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada bekas pemain kebangsaan ditubuh bagi membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencari Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baharu.


Jelas Dali, antara kepentingan mewujudkan jawatankuasa itu adalah bagi memastikan FAM tidak tersilap membuat pemilihan calon yang akan menggantikan Dollah Salleh yang meletak jawatan pada 4 September lalu.

“Saya setuju jika satu jawatankuasa khas dibentuk oleh FAM dalam membantu mereka membuat keputusan untuk menentukan siapa yang bakal menggalas cabaran Ketua Jurulatih negara.

“Saya fikir antara individu yang sesuai untuk berada dalam jawatankuasa itu adalah bekas pemain kebangsaan kerana mereka ada pengalaman dan tahu apa yang diperlukan oleh seseorang pemain.

“Bagi saya antara kepentingan jawatankuasa itu diwujudkan adalah untuk memastikan FAM dapat memilih jurulatih yang bertauliah kemudian memiliki perancangan teknikal yang mantap.

“Paling penting, mereka tidak melantik individu yang mengamalkan sikap pilih kasih ketika membentuk skuad negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Dali, beliau turut bersependapat dengan seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh agar memilih jurulatih skuad kebangsaan dalam kalangan warga tempatan supaya tidak perlu mengeluarkan belanja yang tinggi bagi mendapatkan pengendali dari luar negara.

“Saya setuju dengan beliau (Santokh) berkenaan jurulatih pasukan kebangsaan yang baharu perlulah dilantik dalam kalangan warga tempatan.

“Kita tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan pengendali dari luar negara,” katanya lagi.

Ketika ditanya apakah beliau berminat memohon jawatan tersebut kerana mempunyai pe­ngalaman me­ngendalikan sebuah kelab Australia, Olympics Kingsway sebelum pulang ke tanah air pada 2000, Dali berkata, sekali pun berminat, ketiadaan lesen jurulatih membantutkan hasratnya.

“Saya tidak ada lesen kejurulatihan. Dulu masa saya jadi jurulatih sebuah kelab di Australia saya tidak memiliki lesen kerana pada waktu itu ia bukan satu kewajipan.

“Malah, pada masa itu kalau kita ada pengalaman sebagai pemain kita sudah boleh menjadi jurulatih.

“Bukan saya tidak mahu mengambil lesen jurulatih tapi disebabkan usia saya sudah lanjut saya terpaksa membatalkan hasrat saya.

“Nak ambil lesen kena ada peraturan, malah ada peringkat umur kalau dah tua memang tak boleh nak ambil lagi dah,” katanya.

Bagaimanapun, Dali tanpa berselindung menyuarakan minat menjadi Penasihat Teknikal skuad negara dan memberitahu hatinya sentiasa terbuka untuk ­berkhidmat bersama FAM sekiranya diminta.

Datuk Ong Kim Swee akan mengendalikan skuad negara sehingga hujung tahun selepas menggantikan Dollah yang meletak jawatan ekoran kekalahan 0-10 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE).



Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget