Wednesday, August 19, 2015

Kedah Selangkah Raih Gelaran Juara Liga Perdana 2015


Kedah hanya memerlukan seri dalam perlawanan terakhir mereka Jumaat ini untuk memastikan kejuaraan Liga Perdana 2015 milik mereka, selepas menang tipis 3-2 ke atas Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa malam.


Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Helang Merah kekal menerajui carta Liga Perdana menerusi kutipan 45 mata, berkelebihan tiga mata ke atas dua pencabar terdekat, T-Team dan Pulau Pinang yang turut mengutip tiga mata di laman sendiri.

Kedah hanya perlu memastikan mereka sekurang-kurangnya seri menentang DRB Hicom FC pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini untuk membawa pulang kejuaraan Liga Perdana.

Tiga gol Kedah malam ini dihasilkan Sandro Da Silva menerusi sepakan penalti pada minit ke-23 dan 87 selain jaringan kapten pasukan, Khairul Helmi Johari (m60) manakala pelawat meraih gol hasil sentuhan penyudah Joel Joseph Chianese pada minit ke-19 dan 30.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, lima jaringan pemain import dari Croatia, Tomislav Busic membantu T-Team melakar kemenangan besar 7-0 ke atas SPA Putrajaya FC yang sudah tersingkir ke saingan Liga FAM musim depan.

Busic mencatat nama selaku penjaring pada minit ketiga, 27, 45, 49 dan 77 selain sepakan penalti Sadriddin Abdullaev pada minit ke-57 dan gol Muhammad Zulhanizam Shafine, selang dua minit kemudian.

Pulau Pinang turut mengutip tiga mata menerusi kemenangan tipis 2-1 ke atas DRB Hicom FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Dua gol skuad Harimau Kumbang dijaringkan Hilton Mauro Moreira pada minit ke-41 dan Mohd Faiz Subri (m73) manakala DRB Hicom FC meraih gol saguhati menerusi pemain import dari Jepun, Hayato Hashimoto, 11 minit sebelum permainan tamat.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, pasukan kelab PKNS FC kembali meraih kemenangan setelah mengalahkan UiTM FC 4-1.

Empat gol skuad Semut Merah dijaringkan Gonzalo Manuel Soto pada minit ke-42, Mohd Faiz Mohd Isa (m66), Gabriel Miguel Guerra (m75) dan Patrick Ronaldinho Wleh (m82) manakala UiTM FC meraih gol hasil sepakan penalti Dao Bakary pada minit ke-69.

Dalam pada itu, wakil kelab Pahang, Kuantan FA kembali menghidupkan peluang untuk keluar dari zon penyingkiran selepas mengalahkan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Merdeka.

Dua gol skuad 'The Seagulls' dijaringkan Hazwan Fakrullah Zuridi seawal minit ke-10 dan Fabrice Noel pada minit ke-81.

Johor Darul Ta'zim II dan Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix musim ini, berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu.

-- BERNAMA
-- gambaq: FB Media KFA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget