Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa mengharungi aksi sehingga ke rubber set sebelum memastikan kemaraannya bagi mengiringi Zulfadli Zulkiffli di pusingan ketiga Kejohanan Dunia, di Istora Senayan, di sini hari ini.
Chong Wei menempah tempatnya selepas menundukkan pemain Jerman, Marc Zweibler 21-14, 17-21, 21-8 dalam pertarungan sejam bagi melebarkan rekod pertemuannya dengan lawan itu kepada 11-0.
Selepas menang selesa di set pertama, Chong Wei hilang tumpuan di set berikutnya untuk membolehkan Zweibler mencuri set itu yang juga kali pertama dilakukannya dalam 11 pertemuan mereka sejak Mei 2009.
"Saya memang kurang fokus dalam set kedua dan terpaksa bertarung dalam tiga set tetapi kemudiannya saya mahu cepat tamatkan perlawanan set ketiga," katanya.
Chong Wei yang akan menentang pilihan kelapan, Wang Zhengming dari China di pusingan ketiga esok, mengakui dia perlu memperbaiki permainannya dengan memberi lebih fokus dalam setiap langkah lawan agar tidak lagi terheret dalam perlawanan yang panjang.
"Saya sememangnya berminat untuk berentap dengan Wang dan akan buktikan sesuatu esok," katanya yang menang dalam semua 13 pertemuan dengan pemain China itu yang kali terakhir ditemuinya di Terbuka Taiwan Julai lepas.
Terdahulu, juara remaja dunia 2011, Zulfadli berjaya mengenepikan pemain Ireland, Scott Evans 21-16, 21-13 bagi melangkah ke pusingan ketiga dan akan menentang Wei Nan dari Hong Kong.
Pemain berusia 22 tahun itu berkata, semua perlawanannya di kejohanan ini adalah pengalaman terbaik buatnya kerana ini adalah penampilan sulungnya di kejohanan berprestij ini.
"Saya benar-benar bersyukur dengan kemenangan ini kerana berjaya melangkah ke pusingan seterusnya...Alhamdulillah," katanya.
Sementara itu, juara Sukan SEA, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho mara ke pusingan ketiga acara bergu wanita selepas menundukkan pilihan ke-16, Gabriela Stoeva/Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-17, 21-14.
Di pusingan ketiga, mereka akan menentang pilihan utama, Misaki Matsumoto/Ayaka Takahashi dari Jepun yang sebelum itu menyekat laluan satu lagi pasangan negara, Joyce Choong/Yap Cheng Wen 21-10, 21-9.
Gandingan Lim Yin Loo/Lee Meng Yean turut kalah kepada pasangan tuan rumah yang juga pilihan kesembilan, Nitya Krishinda Maheswari/Gresya Poli 21-17, 13-21, 11-21.
--BERNAMA
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit