PEMAIN bebas, Zulfadli Zulkiffli muncul penyelamat maruah badminton negara apabila menjadi pemain tunggal perseorangan lelaki mara ke undian utama Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, hari ini.
Kejayaan itu menutup aib negara daripada berlakunya tragedi malang tiada wakil ke undian utama pertama kali selepas tiga pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gagal melepasi pusingan kelayakan semalam.
Dalam aksi itu, Zulfadli mempamerkan permainan cemerlang dalam kedua-dua perlawanan kelayakan apabila menumpaskan Saatawat Pongnairat dari Amerika Syarikat 21-12 dan 21-8 dan Fiki Ihsandi Hadmadi dari Indonesia 23-21 21-14.
“Saya puas hati aksi hari ini (semalam). Alhamdulillah, semuanya menjadi dan saya mara ke undian utama,” katanya selepas perlawanan.
Menanti Zulfadli di pusingan pertama adalah pemain China, Tian Houwei.
“Saya akan buat terbaik temu Houwei esok (hari ini). Walaupun hampir enam tahun tak bertemu dia, tapi saya ada keyakinan tewaskannya. Harap penyokong Malaysia beri sokongan,” katanya.
Terdahulu, harapan melihat pemain elit mara ke undian utama tidak kesampaian apabila tiga pemainnya, Chong Wei Feng, Liew Daren dan Goh Soon Huat gagal ke atas lawan masing-masing.
Wei Feng yang baru pulih kecederaan tewas kepada pemain Denmark, Emil Holst 21-23, 21-9, Daren tewas kepada Dionsysius Hayon Rumbaka (Indonesia), 19-21, 21-18, 16-21 dan Soon Huat tumpas 16-21, 14-21 kepada Fikri Isandi Hadmadi (Indonesia).
Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita dan beregu wanita turut menerima nasib yang sama selepas mereka gagal ke pusingan seterusnya.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit