Friday, March 27, 2015

Oman bedil Harimau Malaya 6 - 0


Skuad Harimau Malaya nyata bukan lawan Oman selepas diaibkan dengan kekalahan 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' di Stadium Al-Seeb, Oman, malam ini.

Pasukan tuan rumah yang mendapat jolokan Al-Ahmar (The Reds) nyata bukan tandingan skuad bimbingan Dollah Salleh apabila mendominasi perlawanan serta melakukan serangan bertali arus ke kubu skuad negara.

Hasilnya, Yaqoob Abdul-Karim Salim Al-Qasmi membuka tirai jaringan seawal minit ke-15 selepas bijak memanfaatkan pergelutan dalam kotak penalti sebelum mudah menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Oman, yang dilatih oleh jurulatih dari Perancis, Paul Le Guen, terus menggandakan asakan untuk memburu jaringan dan hasilnya, Abdul Aziz Humaid Mubarak Al-Muqbali meledak gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-42 dan keputusan itu kekal sehingga babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, Oman berjaya menambah gol ketiga menerusi Qasim Said Sangoor pada minit ke-46 selepas beliau mudah menolak masuk hantaran silang rakan sepasukan sebelum Abdul Aziz meledak gol keempat, selang empat minit kemudian.

Yaqoob Abdul-Karim menambah derita Malaysia menerusi gol kelima pada minit ke-66 sebelum Mohsin Johar Al-Khaldi memastikan kemenangan bergaya Oman dengan gol terakhir pada minit ke-88 menerusi sepakan penalti.

Dalam pada itu, skuad Bawah 23 (B-23) negara mengalami kekalahan kedua pada siri perlawanan persahabatan di Thailand selepas tunduk 2-0 kepada kelab Air Force United FC di Stadium Thupatemee, Bangkok.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu, yang seri 1-1 menentang skuad B-23 Korea Utara, Ahad lepas, akan melengkapkan siri persahabatan itu menentang Police United pada Isnin ini di Stadium Thammasat.

Tiga aksi persahabatan berkenaan merupakan antara persiapan Kim Swee bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget