-->

Thursday, April 9, 2015

Saya tak kata FAP salah – Hamidin

Saya tak kata FAP salah

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menafikan laporan sebuah akhbar semalam yang memetik beliau sebagai berkata Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bakal berdepan de­ngan hukuman denda berat atas tiga kesalahan iaitu, kejadian membaling batu, kawalan keselamatan lemah dan pintu bilik persalinan pemain dipecahkan.


Hamidin menegaskan, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana masih belum terbukti mana-mana pihak, sama ada FAP atau Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), bakal dikenakan hukuman berat berkaitan insiden yang berlaku di Stadium Bandaraya, Jumaat lalu.


Tegasnya, beliau bukan pihak yang berkuasa menentukan siapa yang bersalah dalam perlawanan antara skuad Harimau Kumbang dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu, sebaliknya kes itu akan diteliti oleh Jawatankuasa Tatatertib, yang belum membincangkannya.
“Mengenai isu yang berlaku antara Pulau Pinang dan JDT, saya ingin nafikan yang saya ada mengatakan FAP bakal berdepan hukuman atas apa yang berlaku kerana semua perkara itu di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Undang-undang untuk buat penilaian sama ada terdapat kes atau tidak.

“Bukan hak saya untuk tentukan (kes) berat atau tidak dan saya yakin kedua-dua Jawatankuasa akan bertindak adil dalam hal ini tanpa mengambil kira sensitiviti mana-mana pihak.

“Mereka juga akan melihat secara menyeluruh dan bukan yang dilaporkan oleh pihak media kerana mereka ada justifikasi dan pertimbangan tersendiri, jadi saya harap kenyataan ini dapat menamatkan kekeliruan yang berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.

Hamidin sebelum ini membe­ritahu pihaknya telah menerima laporan yang dikemukakan oleh komisioner perlawanan, koordinator dan pengadil perlawanan atas tiga kesalahan yang berbeza.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan FAP mendakwa pintu bilik persalinan pasukan pelawat dipecahkan oleh anggota skuad JDT II sejurus tamat perlawanan.

Penjaga gol JDT II, Mohd. Anis Faron juga ditahan oleh polis kerana menghamburkan kata-kata kesat terhadap anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ketika menuju ke bilik persalinan.


Perlawanan itu menyaksikan aksi tegang antara kedua-dua pasukan, manakala objek seperti bekas minuman dibaling oleh penyokong tuan rumah yang membuatkan Anis mendakwa dia dibaling dengan objek keras.

Punca tindakan penyokong Pulau Pinang itu dikaitkan dengan situasi di atas padang apabila kebanyakan pemain JDT II cuba melengah-lengahkan permainan selepas mendahului 1-0 pada minit kedua menerusi gol Zaquan Adha Abdul Razak, selain kelemahan mutu pengadilan.




Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget