Monday, April 6, 2015

Marin pencetus fenomena badminton Eropah

Carolina Marin Malaysia Open

Dilahirkan di negara yang agak dingin terhadap badminton dan lebih menggilai bola sepak, Sepanyol, namun Carolina Marin tetap mampu menempatkan diri sebagai bintang dunia, malah siapa yang menduga dia mampu muncul juara dunia tahun lalu dan juara All England 2015.

Pemain paling sensasi pernah dilahirkan Sepanyol, semalam Marin menambah koleksi kejuaraannya dengan muncul juara Siri Super Premier Terbuka Malaysia dengan menumpaskan pemain No. 1 dunia yang juga juara Olimpik, Li Xuerui 19-21, 21-19, 21-17.

Peningkatan yang semakin ditunjukkan pemain muda berusia 22 tahun itu, sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara pilihan utama untuk mencabar pingat emas O­limpik 2016 di Rio, Brazil.

Marin mengakui, bergelar pemain badminton di negara yang bukan peminat badminton sesuatu yang tidak mudah.

Namun, berjaya menewaskan pemain dari negara-negara yang dianggap kuasa badminton se­perti China, Korea Selatan, Jepun, Denmark, Indonesia dan Malaysia memberi kepuasan buat dirinya.

“Badminton merupakan sukan yang sangat popular di negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Korea tetapi bukan di Sepanyol, jadi saya perlu bekerja keras untuk berada di sini.

“Sukar untuk saya menjalani latihan kerana saya tidak memiliki rakan untuk berlatih.

“Tidak seperti negara lain mereka ada sejumlah besar pemain hebat dan ada yang berada di dalam senarai 10 pemain terbaik dunia untuk berlatih bersama,” katanya ketika ditemui sejurus dinobat sebagai pemain Sepanyol pertama muncul juara Terbuka Malaysia.

Kejayaan pemain kelahiran Huelva itu bermula pada 2011 apabila dia berjaya muncul juara Remaja Eropah, sebelum meneruskan kecemerlangan tiga tahun kemudian dengan merangkul kejuaraan Eropah.

Ketika berusia lapan tahun, Marin lebih tertarik untuk menyertai kelas tarian tradisional Sepanyol, Flamenco tetapi minat untuk bermain badminton itu hadir selepas dia mula bermain secara suka-suka bersama rakan-rakannya di Kelab Badminton IES La Orden di Huelva.

Dia kemudian menjadi pemain badminton Sepanyol pertama me­raih pingat perak Kejohanan Remaja Eropah pada 2009, sebelum meraih pingat emas pada Kejohanan Badminton Bawah 17 tahun Eropah pada tahun sama.

Dia mengakui, bukan mudah untuknya beraksi dalam sukan badminton kerana di Sepanyol, badminton sukan yang popular sekali gus menyukarkannya untuk menjalani sesi latihan akibat kekura­ngan kemudahan.

Pemain tangan kidal itu seperti dipetik dari laman web dnaindia.com berkata, dia terpaksa mengembara ke negara-negara lain seperti Thailand dan Indonesia untuk menjalani latihan bagi memantapkan permainannya kerana Sepanyol tidak memiliki kelengkapan yang mencukupi untuk sukan badminton.

“Kebiasaannya, saya menjalani latihan bersama pemain lelaki ke­rana tidak seperti di China atau Indonesia, kami tidak memiliki ramai pemain wanita,” katanya.

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget