Hina FAM - FAM akan siasat Anis
Karier penjaga gol Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Mohd. Anis Faron Ahmad mungkin berdepan bahaya apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sedia menamatkan kontraknya jika didapati bersalah melontarkan kata-kata kesat terhadap anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) selepas perlawanan Pulau Pinang dan JDT II, Jumaat lalu.
Bukan sahaja bakal berdepan tindakan daripada pihak polis dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT II), Mohd. Anis Faron Ahmad juga mungkin tidak dapat lari daripada bayangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran menghina badan induk bola sepak negara itu dalam laman Facebook yang dipercayai miliknya.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, menjadi satu kesalahan besar untuk mana-mana pemain atau pegawai pasukan menghina badan induk bola sepak itu secara terbuka yang boleh menimbulkan aib.
Masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada dakwaan boleh dikenakan terhadap Anis, namun Hamidin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terlebih dahulu dan mengumpul bukti daripada laman sosial.
Jika benar akaun Facebook itu miliknya dan dia sendiri keluarkan kenyataan tersebut, FAM mempunyai hak untuk melakukan tindakan.
‘‘Memang sudah termaktub dalam kontrak yang mereka tandatangani, mereka dilarang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbentuk mengkritik dan menghina FAM secara lisan atau bertulis.
Kemungkinan tidak mampu menahan geram, Anis melalui akaun Facebook yang dipercayai miliknya Newar Berduri Aduh Sakitnya, mempertikai FAM mengapa boleh melantik pengadil perlawanan, Mohd. Jeffrey Zolkefli yang dianggap gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam perlawanan antara Pulau Pinang dan JDT II di Stadium Bandaraya, Jumaat lalu. Penjaga gol berusia 33 tahun itu kecewa dengan tindakan pengadil berkenaan yang mahu meneruskan permainan walaupun terdapat segelintir penyokong Pulau Pinang membaling batu ke arah trek yang hampir menuju ke pintu gol JDT II.
‘‘Macam mana FAM boleh hantar referee (pengadil) yang bodoh dan bangsat macam FAM... Tq warga Pulau Pinang awak semua bagi hujan batu dekat kami ketika perlawanan dah habis tamat... “Penuh batu dalam kawasan keeper masih lagi nak menang teruskan perlawanan.
‘‘Semua penyokong sangat beradab di sini. Relax dekat Johor lagi banyak batu,”
Selain itu, dia turut melabel polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertugas adalah tunggul di kawasan stadium.
Facebook rasmi PBNJ, Johor Southern Tigers (JST) dalam satu kenyataan berkata, Anis telah melakukan tindakan yang memalukan pasukan dan mereka mahu menunggu laporan penuh pihak polis sebelum mengambil langkah susulan terhadap penjaga gol berusia 33 tahun itu.
“Mohd. Anis Faron, penjaga gol utama JDT II didapati melanggar disiplin apabila melakukan tindakan yang memalukan pasukan dan beliau ditahan oleh pihak berkuasa setelah melemparkan kata-kata kesat kepada pegawai bertugas.
“Jika didapati bersalah, beliau akan ditamatkan kontrak oleh JDT II. Penamatan kontrak adalah selaras dengan polisi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor yang tidak akan bertoleransi terhadap sebarang perbuatan berkaitan disiplin.
“Kami masih menunggu laporan penuh polis sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” kata JST.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit