Wednesday, April 1, 2015

Istaf kini menjengah bumi Korea


Istaf kini menjengah bumi Korea


SELEPAS sambutan gemilang terhadap Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) Super Series Malaysia 2014/15 di Melaka, persetujuan bersama dicapai Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Persatuan Sepak Takraw Korea (KSTA) untuk menganjurkan pertandingan Istaf Super seterusnya di Gunsan City di Wilayah Jeollabuk-do, Korea Selatan.

Setiausaha Kehormat Istaf, Datuk Abdul Halim Kader, Ketua Pegawai Operasi Asia Sports Ventures (ASV), Venu Ramadass bersama wakil dari ASV bertemu delegasi dari KSTA dan Persatuan Sepak Takraw Jeonbuk di Gunsan City untuk majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU).

Jalin kerjasama


Delegasi turut mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Gunsan City, Moon Dong-Shin dan Gabenor Jeollabuk-do, Song Ha-Jin untuk menandatangani bersama perjanjian MOU tersebut.

Moon menjanjikan sokongan penuh buat Persatuan Sepak Takraw Jeonbuk dalam menganjurkan kejohanan berprestij ini, manakala Gabenor Song menyatakan harapan supaya kekayaan nilai dan budaya Korea di wilayahnya lokasi kejohanan diadakan dapat diketengahkan
dan ditunjukkan kepada dunia luar.

Pada majlis menandatangani MOU, Presiden KSTA Ko Seok-Ku mengumumkan bahawa saingan pusingan ketiga Istaf Super Series 2014/15 akan berlangsung di Wolmyeong Arena, Gunsan City pada 23 hingga 26 April ini.

Kali pertama


Bagi Ramadass, ini kali pertama Korea menjadi tuan rumah pertandingan Istaf Super Series dan pastikan menjanjikan kehangatan serta kelainan.

“ASV teruja untuk menjalinkan kerjasama ini dengan KSTA. Dengan susun atur serba baharu, kami berharap dapat bekerjasama erat dengan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) untuk memastikan supaya kami dapat untuk mengekalkan standard bertaraf dunia yang telah kami tetapkan selama ini di dalam menganjurkan pertandingan Istaf Super Series,” katanya.

Langkah bijak


Sementara itu, Abdul Halim menyambut baik langkah membawa Istaf Super Series keluar Asia Tenggara itu mengharapkannya terus diperkenalkan di wilayah berdekatan.

“Selepas menganjurkan Istaf Super Series di New Delhi pada musim terdahulu, ia bukan suatu yang mengejutkan apabila kami membawa Istaf Super Series ke bahagian lain di Asia.

"Ianya menarik untuk peminat mahupun pemain dengan kita berharap dapat memperkenalkan sepak takraw ke wilayah baharu, dan kami berbangga untuk menyatakan Korea hanyalah negara kedua dari luar Asia Tenggara yang akan menganjurkan kejohanan ini,” katanya.

Kongsi pengalaman


Selaku tuan rumah Presiden KSTA Ko Seok-Ku, ternyata begitu gembira memeterai perjanjian baharu ini dengan Istaf dalam usaha berkongsi pengalaman dan kegemilangan sukan tersebut.

"Pertandingan Istaf Super Series menyediakan platform cukup signifikan untuk perkongsian pengalaman dan kemahiran antara pemain, selain mengukuhkan komunikasi di kalangan pelbagai persekutuan sepak takraw yang terlibat, dalam pada kami menyokong usaha Istaf membangunkan sukan ini.

“Walaupun Korea tidak terlibat dengan Sukan Asia Tenggara (Sea) 2015, kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian akan beraksi di temasya itu, dan kami akan bekerja keras untuk menyediakan kemudahan terbaik, serta sebuah pertandingan yang hebat untuk menguji semangat pemain dalam masa sama menterjemahkan aksi berkualiti tinggi untuk peminat kami di sini di Korea,” katanya.

Miliki kelebihan


Untuk rekod pasukan sepak takraw lelaki Korea memperbaiki kedudukan dengan melonjak dua anak tangga untuk berada di ranking kelima dalam carta mata Istaf Super Series 2014/15 sejak awal tahun ini.

Dengan kelebihan selaku tuan rumah dan sokongan padu peminat di gelanggang sendiri, mereka sudah tentunya berada di kedudukan terbaik untuk mencabar kejuaraan di Istaf Super Series Korea 2014/15 Gunsan City, Jeollabuk-do, nanti.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget