Bekas pengendali T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah sah menjadi ketua jurulatih Kelantan menggantikan George Boateng berkuat kuasa esok.
Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebooknya, hari ini.
Menurutnya selepas perbincangan dan rundingan dibuat dengan semua peringkat pengurusan, KAFA membuat rombakan demikian untuk memantapkan lagi The Red Warriors (TRW).
"Mohd Azraai Khor dilantik sebagai ketua jurulatih TRW dan akan dibantu Zahasmi Ismail serta Mohamad Sidek.
"Boateng dilantik sebagai ketua jurulatih kanan merangkap pengarah teknikal yang bertanggungjawab terhadap nasihat, latihan dan pembangunan latihan staff di semua peringkat.
"Dia juga bertanggungjawab untuk membentuk pelan pembangunan jangka panjang KAFA," katanya.
Annuar berkata, Hashim Mustafa memegang jawatan Penolong Pengarah Teknikal, sementara Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih Piala Presiden.
Katanya, pengubahsuaian tugas perlu disegerakan demi memastikan TRW berada pada tahap terbaik menjelang April.
Sebelum ini, desas desus timbul mengatakan Boateng bakal dikeluarkan dari barisan jurulatih TRW berikutan prestasi buruk pasukan dalam beberapa siri perlawanan.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit