Thursday, February 26, 2015

Faizal Saari Masih Berpeluang Sarung Jersi Negara - Tai Beng Hai


Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari masih berpeluang merebut tempat dalam skuad kebangsaan pada kejohanan akan datang walaupun namanya digugurkan dalam jelajah ke Australia, awal bulan depan.

Pengendali sementara skuad hoki negara, Tai Beng Hai bagaimanapun berkata pemain berusia 24 tahun itu perlu menjalani ujian kecergasan setelah lama menghilangkan diri daripada skuad kebangsaan.

"Beliau (Faizal) perlu melalui proses sama seperti pemain lain. Saya rasa semua pemain kena faham apabila mewakili negara, mereka perlu letakkan maruah negara pada satu tahap tertinggi.

"Pemain tidak boleh keluar masuk ikut sesuka hati dan saya harap ia pengajaran kepada mana-mana pemain. Semua pemain kena faham, apabila mewakili negara, ia satu penghormatan," kata Tai ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad negara, di sini Rabui.

Media hari ini melaporkan nama Faizal digugurkan daripada senarai 20 pemain dalam jelajah ke Australia selepas gagal menghadiri sesi latihan skuad kebangsaan selepas tamat Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bulan lepas, yang menyaksikan Malaysia muncul juara.

Tai berkata skuad negara akan beraksi dalam lapan aksi pemanas badan termasuk tiga perlawanan menentang skuad kebangsaan Australia pada jelajah berkenaan dari 3 hingga 17 Mac ini.

Jelajah itu adalah persiapan skuad 'The Malaysian Hockey Tigers' untuk menghadapi Piala Sultan Azlan Shah 2015 di Perak dari 5 hingga 12 April, serta pusingan ketiga Liga Hoki Dunia di Belgium pada Jun, yang merupakan kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

"Selebihnya membabitkan aksi menentang IAS (Illawarra Academy of Sports) dan WAIS (Western Australian Institute of Sports)," kata Tai.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Johari Abdul Aziz menyatakan kesediaan badan induk hoki negara itu bertemu dengan Faizal bagi mengetahui gambaran sebenar masalah dihadapi pemain berkenaan.

"Kita tidak mahu halang dia daripada bermain hoki. Kalau kita halang dia, mana dia hendak pergi, jadi kita kena tengok kehidupan beliau yang bergantung pada hoki," katanya.

Sementara itu, perunding skuad hoki negara, Neil Hawgood berkata adalah penting baginya mencari punca berhubung kegagalan Faizal untuk menghadiri latihan pusat skuad kebangsaan.

"Sebabnya mungkin serius. Ia boleh jadi beliau terlibat dalam isu-isu yang serius, kita tidak tahu.

"Saya tidak tahu punca sebenar (di sebalik kehilangannya daripada skuad kebangsaan), jadi bagaimana saya boleh menyatakan dia (Faizal) akan menerima layanan sama dengan pemain lain. Untuk berlaku adil (kepadanya), tunggu sehingga kita mengetahui alasannya," kata Hawgood.



-- BERNAMA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget