Tuesday, September 8, 2015

Sidang media Malaysia vs Arab Saudi


Malaysia vs Arab Saudi

Ia menjelang perlawanan keempat Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, Malaysia lawan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8.45 malam esok (Selasa, 8 September 2015).

Hadir pada sidang media berkenaan ialah pengendali sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan kapten skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim serta ketua jurulatih Arab Saudi, Bert van Marwijk dan ketua pasukannya, Osama Hawsawi.

Malaysia kini di tangga ke-169 dunia manakala Arab Saudi di tangga ke-93 dunia.

KOMEN JURULATIH SEMENTARA MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Kita tahu Arab Saudi antara gergasi Timur Tengah. Jadi kami perlu buat kerja rumah dan benar-benar berdisiplin.

"Memang tak dinafikan mereka dilatih individu yang pernah membawa Belanda ke final Piala Dunia 2010. Sudah tentu beliau lebih hebat dari segi taktikal tetapi itu tidak bermakna kita tidak mampu menyaingi Arab Saudi.

"Saya yakin pemain akan meningkatkan prestasi mereka. Selepas tiga hari pulang dari Abu Dhabi, saya nampak mereka lebih tajam dan saya dapat rasakan apa dalam fikiran pemain ketika ini. Harap mereka dapat lakukan yang lebih baik esok.

"Kami tak perlu fikir lagi perlawanan yang lepas. Pemain perlu pandang ke hadapan. Esok kita tunjukkan karakter sebenar dan kami perlu menang.

"Saya harap pemain dapat bangkit dan buat penyokong semua, kami memerlukan peluang kedua. Kami perlukan sokongan anda. Saya yakin jika penyokong hadir memberikan sokongan malam esok, pemain mampu beraksi lebih baik.

"Ada baiknya kami ada peluang dalam tempoh empat hari, biarpun singkat untuk membuktikan semula apa yang berlaku tempoh hari hanyalah mimpi ngeri dan kita boleh mencatat sejarah lebih baik, malam esok."

KOMEN KETUA PASUKAN MALAYSIA, SAFIQ RAHIM

"Sebagai pemain kami perlu menghadapi situasi ketika ini dan perlu meneruskan perjuangan biarpun apa yang berlaku. Jadi kami tak boleh toleh ke belakang lagi dan perlu memandang ke hadapan dengan mengharapkan keputusan positif pada baki perlawanan selepas ini.

"Lagipun kami akan beraksi di tempat sendiri, jadi ia pasti memberikan motivasi terbaik kepada pasukan."

KOMEN JURULATIH ARAB SAUDI, BERT VAN MARWIJK

"Kami datang ke sini untuk turun beraksi perlawanan yang cukup penting, malam esok. Kami cuba untuk melakukan persiapan sebaik mungkin, sebab itulah kami tiba di sini Jumaat lalu selepas aksi bertemu Timor Leste.

"Mungkin semua menganggap ia akan menjadi satu perlawanan yang mudah buat kami kerana Malaysia tewas 10-0 kepada UAE dan jurulatih mereka (Dollah Salleh) sudah meletak jawatan, tapi saya tak rasa begitu.

"Ia tetap bukan satu tugas mudah. Malaysia pasti akan menjadi lawan yang cukup berbahaya. Jadi kami perlu beri lebih fokus dan tidak memandang rendah kemampuan mereka.

"Kami tidak memikirkan berapa jumlah jaringan. Kami akan cuba untuk memenangi perlawanan ini terlebih dahulu, itu yang lebih penting."

KOMEN KETUA PASUKAN ARAB SAUDI, OSAMA HAWSAWI

"Sama seperti yang dikatakan jurulatih, kami tetap perlu menghormati pasukan lawan, tidak kiralah mereka tewas pada perlawanan sebelum ini.

"Kami hadir ke sini hanya untuk mempamerkan persembahan terbaik. Kami akan menghadapi Malaysia, sama seperti lawan yang lain."

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget