Thursday, September 17, 2015

Lekir di hadapkan ke mahkamah

Lekir di hadapkan ke mahkamah


Seorang pemimpin Ultras Malaya dan seorang ahli kumpulan itu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan merusuh sehingga mencetuskan kekecohan ketika perlawanan bola sepak pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, minggu lalu.




Mohd. Ridzuan Ahmad, 36, yang juga dikenali sebagai Lekir dan Nadzul Haqimi Zulkepli, 31, didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan Kuadron C, stadium tersebut kira-kira pukul 10.50 malam, 8 September lalu.

Kedua-dua tertuduh bersama beberapa lagi yang masih bebas didakwa merusuh dengan membakar suar, bom asap dan mercun roket yang dibaling ke arah balapan stadium, dengan seorang atau lebih daripada mereka telah menggunakan kekerasan atau keganasan.

Mohd. Ridzuan dan Nudzul Haqimi didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, N. Parimalaah yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin namun peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan berikutan anak guamnya berpendapatan rendah.

“Saya mohon jumlah jaminan tersebut dikurangkan kerana membebankan anak guam saya, Nurul Haqimi yang menanggung ibu bapanya dan mempunyai tiga orang anak manakala Mohd. Ridzuan memiliki seorang anak.

Majistret Norshakinah Kamarudin kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-duanya membayar wang jaminan masing-masing.

Dalam perlawanan bola sepak tersebut, kekecohan bermula pada minit ke-88 apabila segelintir penyokong Malaysia melakukan perbuatan biadab melemparkan suar, bunga api dan mercun ke tengah padang menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan ketika Malaysia ketinggalan 1-2.

Ekoran kejadian itu, pihak polis telah memberkas 14 lelaki namun hanya Lekir dan Nadzul Haqimi dihadapkan ke mahkamah sementara 12 lagi telah dibebaskan setelah keterangan mereka diambil.

Dua suspek lain yang dipercayai perancang utama iaitu Tok Anjang dan Shap yang merupakan pemimpin Ultras Selangor kini masih diburu pihak berkuasa.



Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget